TOKAN dadah tergamam selepas rumahnya di Apartmen Courtyard Sanctuary, di Padawan , diserbu polis, semalam.

Serbuan 11.30 pagi itu berjaya menahan lelaki berusia 26 tahun di kawasan parkir apartmen berkenaan oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak.

Hasil serbuan, polis merampas syabu dan pil ekstasi di kediaman suspek dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM329,250.

Ketua JSJN Sarawak, Superintendan Sahar Abdul Latif berkata, serbuan dijalankan pihaknya selepas mendapat maklumat risikan tentang kegiatan haram suspek sejak beberapa bulan lalu.

Menurutnya, suspek ditahan di parkir apartmen sebelum membawa pasukan serbuan ke rumahnya untuk pemeriksaan lanjut.

“Pemeriksaan lanjut menemui plastik lutsinar mengandungi serbuk kristal dipercayai syabu seberat 535 gram di dalam premis berkenaan.

“Polis kemudian menemui satu kotak pengering rambut yang berisi 4,980 pil ekstasi,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Beliau berkata, polis percaya suspek menjadi tokan dadah di daerah ini sejak beberapa bulan lalu, namun kegiatannya dilakukan secara senyap kerana khuatir dihidu polis.

Katanya, suspek yang dibawa ke Balai Polis Batu Kawa juga didapati positif metaphetamin.

Tambahnya, polis merampas Toyota Vios, cincin dan anting-anting emas serta wang tunai yang keseluruhan dianggarkan bernilai RM69,593.

“Suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) akta sama.

“Polis percaya dengan penahanan suspek, satu lagi sindiket dadah di daerah ini berjaya ditumpaskan dan usaha mengesan individu lain yang terbabit giat dijalankan,” katanya – hmetro