RANAU: Seorang buruh maut, dipercayai terkena tembakan ketika memburu bersama-sama rakannya di kawasan Ladang Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) di Kampung Marakau, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, Anto Supomo, 33, mengalami kecederaan di bahagian kiri dan kanan badan akibat terkena tembakan.

Difahamkan, mangsa bersama-sama rakannya yang juga petani berusia 28 tahun keluar memburu ke dalam kawasan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) di Kampung Marakau dengan membawa selaras senapang buatan sendiri jenis bakakuk dan tiga butir peluru milik rakannya itu, kira-kira jam 10 malam, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata siasatan awal mendapati mangsa ternampak seekor rusa dan mengarahkan rakannya menembak haiwan terbabit yang berada di atas bukit.

“Rakan mangsa kemudian naik ke bukit untuk menembak rusa tanpa menyedari mangsa juga naik sama. Apabila rakannya melepaskan tembakan, dia terdengar jeritan mangsa menyebut `Allahuakbar’ sebanyak dua kali.

“Berikutan itu, suspek kemudian mendapati mangsa tidak bergerak dan dipercayai sudah meninggal dunia sebelum dibawa pulang ke rumahnya di Kampung Marakau. Pemeriksaan awal yang dijalankan di Hospital Ranau mendapati mangsa mengalami kecederaan dengan lima kesan tembakan di bahagian kiri dan kanan badan.

“Mangsa dipercayai mati akibat terkena tembakan di bahagian jantung,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Farhan berkata, berikutan kejadian itu polis menahan rakan mangsa untuk siasatan lanjut.

“Kita turut merampas selaras senapang buatan sendiri, kelongsong peluru dalam bakakuk, sebutir peluru hidup dalam poket depan seluar suspek, sebutir peluru hidup dan sebutir palet yang ditemui di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.