Kuala Terengganu: “Jangan labelkan kami ‘mat rempit’ atau samseng jalanan kerana kami tidak seburuk seperti yang dianggap segelintir masyarakat,” kata Mohd Nazli Ismail, 35, seorang daripada 700 penunggang motosikal yang menyertai Program Santai Silaturahim Penunggang Motosikal Pantai Timur di Batu Buruk, di sini, semalam.

Dia terkilan dengan sikap segelintir masyarakat yang berterusan menuduh dan menganggap semua penunggang motosikal itu sebagai mat rempit atau samseng jalanan.

“Kami tidak menafikan ada antara penunggang motosikal yang menjalankan aktiviti jenayah bermotosikal seperti meragut atau terbabit lumba haram sehingga mendapat jolokan mat rempit.

“Tetapi, tidak adil kepada kami sekiranya masyarakat berterusan menyalahkan semua penunggang motosikal serta dilabelkan sebagai mat rempit sehingga kami dipandang serong,” katanya.

Menurutnya, berikutan dakwaan terhadap penunggang motosikal itu menyebabkan dia dan semua rakannya sentiasa dipandang sinis, sekali gus sukar untuk menjalankan aktiviti berkumpulan dan bermotosikal.

“Bila kami berkumpul, masyarakat membuat tomahan kononnya kami menganjurkan lumba haram dan secara tidak langsung membantutkan pergerakan kami,” katanya yang juga penganjur bersama program berkenaan.

Menurutnya, dia berharap masyarakat bersikap lebih terbuka dengan menerima penunggang motosikal dan jangan cepat membuat andaian negatif terhadap aktiviti yang mereka jalankan.

“Adakalanya aktiviti bermotosikal termasuk konvoi, berkumpul pada sesuatu majlis lebih baik berbanding terbabit dengan najis dadah dan sebab itu kami mengharapkan sokongan semua pihak,” katanya.

Peserta lain, Mohd Sabri Ghalib, 33, dari Kuala Ibai berkata, melalui program yang dianjurkan itu membolehkan semua penunggang dan peminat pelbagai jenis motosikal dapat berkumpul dan saling berkenalan.

“Walaupun pada pandangan umum, aktiviti atau program yang dijalankan itu kelihatan seperti tidak terurus tetapi setiap peserta diingatkan supaya berdisiplin dan menjaga tingkah laku.

“Kami bosan dengan pelbagai tuduhan dan tohmahan yang dikaitkan dengan penunggang motosikal dan akan dipastikan tiada masalah yang timbul dalam setiap program diadakan,” katanya.

Menurutnya, dia berharap aktiviti yang dijalankan itu dapat dianjurkan pada setiap tahun, sekali gus membudayakan semangat kerjasama dan persaudaraan dalam kalangan penunggang motosikal terutamanya di Pantai Timur.

-myMetro