PUTRAJAYA: Dua lelaki termasuk pengarah urusan anak syarikat FELCRA Berhad (FELCRA) direman lima hari bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa berkaitan penyelewengan dana kerajaan dan pengagihan kontrak latihan bernilai RM4 juta, membabitkan anak syarikat itu.

Perintah reman bermula hari ini dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret di sini.

Terdahulu, suspek iaitu pengarah urusan anak syarikat itu berusia 53 tahun serta penasihat pembangunan perniagaan dan pemasaran strategik anak syarikat berusia 45 tahun tiba di mahkamah pada jam 9.05 pagi tadi.

Pengarah urusan itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada jam 6.20 petang semalam di ibu pejabat SPRM di sini, manakala suspek kedua ditahan pada jam 5.40 petang di SPRM Kelantan, masing-masing selepas hadir memberi keterangan.

Sumber berkata, pengarah urusan anak syarikat itu dipercayai memanipulasi sebut harga, selain melantik syarikat luar yang dimiliki anggota keluarga termasuk anak menantu dan kenalannya bagi membekalkan tenaga pengajar, pakar latihan serta kursus yang dikendalikan anak syarikat itu.

“Salah guna kuasa itu dikesan sejak 2014 dan berlarutan sehingga kini membabitkan nilai projek berjumlah kira-kira RM4 juta.

“SPRM percaya masih ada beberapa lagi syarikat luar yang terbabit serta pengurus kanan itu juga disyaki menerima habuan pada setiap kontrak yang diperoleh,” katanya.

Semalam, SPRM menyerbu 10 lokasi termasuk pejabat anak syarikat Felcra di Setapak, Kuala Lumpur berhubung siasatan kes itu dan serbuan dijalankan serentak di sekitar Pantai Timur, Lembah Klang dan Perak.

SPRM juga mengambil sejumlah dokumen berkaitan bagi membantu siasatan.

Sumber berkata, seramai 15 individu dibawa ke ibu pejabat SPRM Putrajaya dan Kelantan untuk ditemu bual berhubung isu berkenaan.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 – berita harian