KOTA KINABALU: Suspek lelaki yang menjadikan kanak-kanak perempuan berusia dua tahun sebagai tebusan di sebuah rumah tingkat 4, Taman Telipok Ria, Tuaran, mati ditembak jam 5.35 petang tadi.

Difahamkan, tindakan itu dilakukan selepas suspek enggan menyerahkan kanak-kanak terbabit walaupun polis sudah melakukan usaha memujuknya.

Kedengaran beberapa das tembakan menyebabkan suasana di lokasi kejadian kecoh dan tegang, sebelum suspek disahkan ditembak mati.

Sejurus selepas itu, kanak-kanak terbabit dibawa turun dan dihantar ke hospital dengan ambulans.

Keadaan kanak-kanak itu tidak dapat dipastikan setakat ini.

SEPASUKAN polis lengkap bersenjata berkawal di luar rumah suspek yang menawan seorang kanak-kanak berusia dua tahun di Taman Telipok Ria, Kota Kinabalu. – NSTP/Junaidi Ladjana
Terdahulu, kejadian bermula pada kira-kira jam 12 tengah hari tadi apabila lelaki dianggarkan berusia 30-an dikatakan melarikan mangsa.

Lelaki yang tidak dikenali oleh penghuni di sini, membawa kanak-kanak terbabit ke sebuah rumah di tingkat 4, berdekatan rumah ibu bapa mangsa.

Polis kemudian mengepung rumah terbabit dan berusaha memujuk suspek supaya melepaskan kanak-kanak berkenaan.

Difahamkan, lelaki itu bersembunyi di dalam tandas di rumah berkenaan.

Sepasukan anggota polis lengkap bersenjata juga dihantar ke lokasi kejadian – berita harian