KUALA LUMPUR: Sikap terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan adalah antara punca jumlah usahawan Melayu dan Bumiputera masih rendah berbanding kaum lain ketika ini.

Timbalan Menteri Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Mohd Hatta Ramli, berkata segelintir usahawan Melayu dan Bumiputera masih kurang kesedaran yang kejayaan mereka bergantung kepada inisiatif dalam merebut peluang perniagaan.

Selain itu, katanya, ada faktor lain yang menjadi punca jumlah usahawan Melayu dan Bumiputera tidak meningkat seperti kurang latihan kemahiran, tiada dorongan untuk meneroka peluang baharu, kekangan minda serta akses bantuan kewangan terbatas.

“Prestasi yang digambarkan usahawan Melayu dan Bumiputera agak ketinggalan memang benar. Berdasarkan statistik Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hanya 40 peratus syarikat berdaftar usahawan dimiliki Bumiputera. Ia ada kebenarannya.

“Maka, beberapa langkah diambil untuk meningkatkan bilangan usahawan Melayu dan Bumiputera dilaksanakan seperti meningkatkan program membudayakan keusahawanan dengan mendekati masyarakat.

“Ia termasuk menanam budaya keusahawan pelajar di peringkat sekolah rendah dan ke universiti awam serta mempromosi program usahawan sebagai kerjaya pilihan.

“Akses pembiayaan menerusi institusi kewangan, melaksanakan program memperkukuh usahawan dalam inisiatif e-dagang juga akan dipertingkatkan,” katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Ahmad Maslan (BN-Pontian) pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Mohd Hatta turut berkata, kerajaan tidak bercadang mewujudkan aliran pendidikan keusahawanan bagi meningkatkan kesedaran awal rakyat terhadap budaya keusahawanan seperti mana wujudnya aliran sains dan sastera dalam pendidikan menengah ketika ini.

Katanya, kementerian setakat ini berpuas hati dengan program dan pendidikan yang mempunyai elemen keusahawanan dalam silibus pendidikan di sekolah serta universiti.

“Memang kita setuju untuk mendedahkan lagi bidang keusahawanan di sekolah namun kita dapati Kementerian Pendidikan sudah mewujudkan program pendidikan yang rentas kokurikulum dalam bidang ini di sekolah rendah dan menengah.

“Malah di universiti awam pun sudah ada subjek program keusahawanan yang diwajibkan kepada sesetengah pelajar untuk mereka meningkatkan kefahaman dalam bidang berkenaan,” katanya.

-BeritaHarian