KESESAKAN lalu lintas bukan sahaja menyebabkan seorang lelaki terlepas jadual penerbangan malah ia turut menyelamatkan nyawanya.

Sony Setiawan yang bekerja di Kementerian Kewangan Indonesia sepatutnya menaiki pesawat Lion Air dari Jakarta ke Pangkal Pinang, awal pagi Isnin.

Namun, kegagalan pemuda itu tiba di lapangan terbang pada waktu yang ditetapkan ternyata mempunyai hikmah tersendiri.

“Saya biasanya ambil penerbangan JT610, saya dan kawan-kawan saya selalu gunakan penerbangan ini.

“Tapi pada hari kejadian saya tak tahu kenapa trafik begitu sesak sekali.

“Biasanya saya tiba di lapangan terbang pada pukul 3.20 pagi, tapi sebab trafik sesak saya tiba 6.20 dan terlepas penerbangan,” ujarnya.

Menurut Sony, dia menangis setelah dimaklumkan mengenai tragedi itu.

“Keluarga saya terkejut, mak saya menangis. Saya maklumkan yang saya selamat. Saya bersyukur sangat,” tambahnya lagi.

Pesawat jenis Boeing 737 MAX 8 yang membawa 181 individu dan lapan anak kapal itu dilaporkan terputus hubungan sebelum terhempas di perairan Karawang, selepas berlepas 6.20 pagi Isnin dari Lapangan Terbang Soekarno-Hatta

Pesawat itu sepatutnya tiba di Lapangan Terbang Depati Amir Pangkal Pinang pada jam 7.10 pagi waktu Indonesia barat (8.10 pagi waktu Malaysia).

Sementara itu Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia (Basarnas) dalam satu kenyataan berkata pasukan mencari dan menyelamat telah menemui beberapa serpihan dan barang milik penumpang pesawat berkenaan.-People.