KERETA Ford Mustang yang dipandu penerbit terkenal, Datuk A Aida terbabas di Kilometer 390, Lebuh raya Pantai Timur 2 (LPT 2) berhampiran Ajil, Terengganu, kira-kira jam 6 petang hari ini.

Aida bagaimanapun berkata, dia bersama tiga anak yang dalam perjalanan pulang ke kampungnya di Jertih kerana kematian kakak sulung tengah hari tadi tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Tadi hujan lebat, jadi saya pandu perlahan saja. Tapi, secara tiba-tiba ada sebuah kereta memotong dan air terkena cermin.

“Saya panik sebab tak nampak apa-apa dan kereta terus hilang kawalan hingga terlanggar pembahagi jalan kiri dan kanan. Nasib baik ketika kejadian tidak ada kenderaan lain,” katanya

Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan semua beg udara kereta terkeluar dan mereka sekeluarga terkejut, namun bersyukur kerana selamat.

“Ini insiden pertama saya terbabit kemalangan. Apatah lagi ia bukan berpunca daripada saya,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Kuala Berang.

Katanya, kereta itu mengalami kerosakan pada lampu depan serta kemek di bahagian kiri dan kanan.

Aida berkata, disebabkan kemalangan itu dia tidak sempat melihat jenazah arwah kakaknya buat kali terakhir.

“Saya anggap tiada rezeki menatap wajah arwah buat kali terakhir, padahal sudah menyusun waktu perjalanan.

“Tapi, ketentuan Allah sebaliknya dan saya reda. Apa yang penting tidak ada kemalangan jiwa,” katanya.

Menurutnya, dia tidak kisah keretanya rosak kerana ia boleh dibaiki dan trak tunda juga sudah membawa kereta ke bengkel.

“Polis yang bertugas juga memaklumkan sebelum saya ada dua lagi kereta terbabit kemalangan di kawasan sama,” katanya.

 

-HarianMetro