IPOH – Cadangan agar bangunan Silveritage di Medan Gopeng dibuka untuk operasi terminal bas ekspres Ipoh Selatan masih dalam pertimbangan kerajaan negeri.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ini kerana pembukaan satu-satu terminal baru memerlukan kelulusan Kementerian Pengangkutan dan agensi-agensi lainnya.

Menurutnya, hasil perbincangan dilakukan bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), belum ada sebarang ketetapan dapat dibuat berhubung perkara itu.

“Nak adakan terminal baharu atau sebagainya, ia perlu dibawa ke perbincangan pihak kementerian, jadi mengenai cadangan itu kita belum ada sebarang kepastian.

“Tetapi kita nak bawa perkara ini ke perbincangan bersama ejen-ejen tiket bas terlibat untuk mencari jalan penyelesaian secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Perwakilan Ikatan Mandailing Malaysia-Indonesia (Imami) di Dewan Seri Tanjung Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM), Behrang, hari ini.

Cadangan itu dikemukakan selepas syarikat pengendali perkhidmatan bas ekspres diarah menghentikan operasi jualan tiket di kaunter Terminal Amanjaya di Bandar Meru Raya, berakhir 31 Mac ini.

Arahan pemberhentian melibatkan hampir 200 ejen itu dibuat berikutan pelaksanaan cadangan pengenalan Sistem Tiket Berpusat (CTS).

Ahmad Faizal berkata, pihaknya sedang berusaha mencari jalan penyelesaian sebaiknya dengan mengadakan lebih banyak perbincangan dengan pihak-pihak berkaitan.

“Hasil perbincangan itu nanti perlulah yang membawa ke depan (penyelesaian) bukan terus ke belakang dan kebelakang, insya-ALLAH kita akan terus cuba rungkaikan masalah ini,” katanya.

Ahmad Faizal menyertai persembahan tarian adat, Gordang Sambilan dan Tortor Raja.
Ahmad Faizal menyertai persembahan tarian adat, Gordang Sambilan dan Tortor Raja.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan negeri bersedia untuk menganugerahkan semula sebidang tanah di tapak sama di Batu Gajah untuk dibangunkan sebagai pusat aktiviti kaum Mandailing.

Katanya, tapak itu sebelum ini pernah diberikan kepada mereka, namun diambil semula oleh kerajaan kerana tidak mampu membayar premium pemilikan tanah.

“Kini mereka sudah ada persatuan yang begitu aktif dan bagi pihak pentadbiran sekarang, tiada masalah untuk anugerahkan semula tapak sama, dari segi keluasan akan kita tentukan nanti, ia mungkin jadi sama atau lebih, tetapi tidak akan kurang (daripada tapak asal),” katanya – sinar harian