BAGAN DATUK– Potensi yang ada pada tanaman buah kelapa belum diteroka sepenuhnya ekoran ramai pengusaha yang cenderung memilih untuk menjadikan tanaman kelapa sawit dan getah sebagai sumber utama pertanian.

Di Perak misalnya, daerah Bagan Datuk yang sinonim dengan syurga buah kelapa sering menjadi tumpuan bagi mendapatkan bekalan tersebut, khususnya di musim-musim perayaan.

Sebagaimana pendapat bekas Pengerusi Majlis Pemasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin baru-baru ini, manfaat dari buah kelapa lebih mendatangkan hasil berbanding dua tanaman utama lain iaitu getah dan kelapa sawit.

Ujarnya, sudah tiba waktunya bagi negara mempertimbangkan cadangan itu dengan kajian terperinci dan keputusan yang tuntas, demi meningkatkan pendapatan rakyat yang terkesan dengan kejatuhan harga dua tanaman utama itu.

Tinjauan Suara Perak ke Bagan Datuk mendapati ramai pengusaha tanaman kelapa yang bersetuju dengan cadangan itu.

Bagaimanapun terdapat beberapa isu yang perlu diselesaikan sebelum ia diterima pakai.

Seorang pengusaha kelapa, R. Arun Aavaas berkata, terdapat lambakan stok kelapa yang tidak terjual berikutan tindakan pihak tertentu yang mengimport kelapa dari luar negara.

Katanya, masalah itu turut dialami oleh semua pengusaha di daerah terbabit hampir setahun, menyebabkan kerugian mencecah belasan ribu ringgit.

“Pokok kelapa banyak kelebihannya, daripada buah sampai batangnya boleh digunakan untuk pelbagai produk. Pengusaha kelapa di sini ada bekalan yang mencukupi untuk dipasarkan dalam negara.

“Kebelakangan ini banyak kelapa yang tidak terjual disebabkan masalah kelapa import, diharapkan pihak kerajaan dapat bantu apa yang perlu untuk gilap lagi potensi kelapa ini berbanding getah dan kelapa sawit,” katanya.

Seorang lagi pengusaha kelapa, K. Sangar berharap agar kerajaan dapat membuka jalan untuk pengusaha sepertinya memasarkan serta meneroka seribu satu manfaat yang boleh diperoleh daripada sebiji kelapa.

“Mereka import kelapa dari luar negara memandangkan ia lebih murah, tapi kena ingat yang kualitinya tak boleh tandingi seperti kelapa tempatan.

“Cadangan itu memang kena pada masanya, namun kami harap agar agensi yang berkaitan datang pantau stok kelapa yang ada, kalau betul-betul tak cukup barulah import dari luar, barulah kami tak rugi teruk,” katanya yang mengusahakan tanaman serta menjual kelapa muda dan tua.