SHAH ALAM – Terpaksa menyamar sebagai penduduk tempatan dengan berpakaian kemeja dan kain pelikat lusuh antara usaha penyamaran wakil NGO Al-I’tisam Relief Program (ARP) bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada masyarakat tersisih di daerah Zabid, Tuhayta dan Hodeidah di Yaman.

Penderitaan rakyat di sana terutama di tiga daerah tersebut bukanlah perkara baharu sejak berlakunya perang saudara  pada 2015.

Pengarah Projek Selamatkan Yaman, Ab Hafiz Ab Khalik berkata, penyamaran itu bukan hanya memudahkan pihaknya melepasi sekatan-sekatan untuk ke daerah yang berada di zon peperangan, malah ia juga bagi menyelamatkan bantuan makanan daripada dirampas puak pemberontak Houthi.

“Dalam misi pertama kami ke tiga daerah tersebut awal tahun lalu, kami tidak perkenalkan diri sebagai NGO kerana ia hanya memberi risiko kepada kami untuk dirompak.

“Jadi kami terpaksa menyamar bagi memudahkan kerja menyalurkan bantuan ini dilakukan. Selain pengalaman saya sendiri yang pernah menetap di sana, kami juga perlukan kerjasama orang tempatan dan beberapa rakyat Malaysia di sana untuk mengetahui selok belok perjalanan di sana,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Perang saudara Yaman bermula pada 2015 di antara dua puak yang mengaku membentuk kerajaan Yaman, iaitu pemisah Selatan dan pasukan yang setia kepada Presiden Abd Rabbuh Mansur Hadi, yang berpangkalan di Aden, ditentang pemberontak Houthi dan pasukan setia kepada bekas presiden Ali Abdullah Saleh.

Mengulas lanjut, Hafiz berkata, disebabkan lapangan terbang utama Yaman ditutup kerana pergolakan yang berlaku, mereka juga terpaksa menggunakan jalan darat yang mengambil masa lebih panjang untuk ke lokasi yang dituju.

“Kami memasuki Yaman melalui Lapangan Terbang Salalah, Oman. Dari sana kami menuju ke Tarim yang mengambil perjalanan selama 12 hingga 13 jam dan di situlah kita menyewa kenderaan yang bersesuaian untuk menuju ke tiga daerah tersebut.

“Untuk menyelesaikan misi pertama, kami mengambil masa lebih kurang sebulan di sana. Di samping menyalurkan bantuan makanan, pada masa kita juga ambil kesempatan untuk meninjau keadaan dan kawasan pedalaman yang lain untuk misi ke dua dan perancangan jangka masa panjang,” katanya.

Bantuan jangka masa panjang

Hafiz berkata, populasi rakyat Yaman kini berjumlah 27 juta di mana 14.4 juta daripadanya mengalami kekurangan sumber dan selebihnya mangsa kebuluran.

“Penduduk yang paling terkesan adalah tiga daerah tersebut kerana kedudukan mereka terletak di lokasi yang sukar dilepasi orang luar dan kurang mendapat perhatian.

“Di sana kami melihat sendiri kedaifan mereka. Mereka bukan sahaja mengalami kesukaran mendapatkan makanan, bahkan rata-rata daripadanya tidak memiliki sumber pendapatan kesan daripada kelumpuhan ekonomi mereka di sana,” katanya.

Ujarnya, selain menyalurkan sumbangan makanan, ARP turut memiliki inisiatif bagi membantu rakyat di sana melalui misi bantuan untuk jangka masa panjang.

“Kita tidak mahu mereka terlalu bergantung kepada bantuan yang datang, jadi kami memikirkan satu usaha yang mampu membantu mereka dari segi ekonomi. Mungkin kita boleh membantu mereka untuk memulakan semula aktiviti pertanian atau yang berkaitan dengan kepakaran yang mereka ada.

“Kita jangkakan projek ini akan mengambil masa enam bulan hingga setahun. Bagi memudahkan pengurusannya, kami juga telah membuka cawangan di Tarim,” katanya.

Dana orang ramai diperlukan

Bagi menjalankan misi ke dua pada Mei ini, beliau berkata, sebanyak RM200,000 dana daripada orang ramai diperlukan.

Menurutnya, dana tersebut diguna untuk menampung keperluan sepanjang Ramadan juga untuk bekalan makanan selama sebulan.

“Kita sasar jumlah ini untuk bantuan kepada 200,000 penduduk Hodeidah, Tuhayta dan Zabid.

“Kali ini kita akan ke kampun yang terletak di pedalaman yang  paling terjejas teruk yang telah kita tinjau pada misi pertama,” katanya.

Katanya, dana sumbangan akan dapat membeli keperluan asas seperti gandum, gula, teh, minyak masak, air mineral dan beras.

“Semuanya kami beli di sana sahaja. Bukan tidak mahu bawa dari luar, tetapi perjalanan untuk sampai ke kawasan ini memakan masa yang lama. Apatah lagi sekatan-sekatan yang akan kami tempuh yang terdedah kepada risiko dirompak.

“Jadi beli bekalan diperlukan di kedai runcit berdekatan kawasan dituju. Pada masa sama, ia juga dapat bantu peniaga di sana,” katanya.

Bagi orang ramai yang ingin beri dana, boleh salurkan bantuan menerusi akaun Maybank (562478141589), Bank Islam (12038010114731) dan CIMB Bank (8600633583) di bawah nama Pertubuhan Program Ceria Al-I’tisam.

-SinarHarian