GERIK – Aktiviti pembalakan yang dijalankan sejak enam tahun lalu didakwa menjejaskan sumber air lebih 500 Orang Asli di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Pos Kemar di sini.

Projek pembalakan melibatkan 11 kompartmen itu didakwa menyebabkan Sungai Jumheng yang dijadikan sumber pendapatan dan kehidupan penduduk Kampung Ralak tercemar.

Difahamkan, aktiviti pembalakan yang memasuki fasa terakhir itu juga akan menyebabkan penduduk dari Kampung Katong berisiko tinggi menerima kesan yang sama.

Wakil penduduk, Mohd Affandi Along, 42 berkata, mereka tidak mempunyai pilihan lain terpaksa menggunakan air terbabit bagi aktiviti memasak dan keperluan harian.

Menurutnya, kawasan penebangan terlibat pernah menjadi tanah adat mereka sejak nenek moyang menempatkan kebun, kawasan rayau dan tanah perkuburan.

“Bantahan dijalankan beberapa kali sebelum ini namun, tiada reaksi positif meskipun mengadakan pertemuan bersama wakil rakyat, syarikat pembalakan dan agensi kerajaan lain yang terlibat tahun lalu.

“Dalam mengaut keuntungan, kami menerima padah. Sungai utama yang melalui kampung kami airnya mula keruh. Kami tiada paip air dan air yang sama digunakan dari memasak hinggalah mandi malah, tangkapan ikan turut berkurangan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Hasil hutan juga terjejas

Mohd Affandi berkata, hasil hutan juga turut terjejas apabila aktiviti itu telah menggondol kawasan seluas 186 hektar.

“Kami sukar mendapatkan hasil hutan seperti kulit kayu dan bahan lain untuk upacara sewang yang menjadi tradisi kami. Projek ini hanya menguntungkan sesetengah pihak dan hak kami sebagai penduduk asal diketepikan.

“Kami tidak membantah sebarang bentuk pembangunan yang diperlukan tetapi mereka harus fikir akan hak kami dan keperluan kami yang hanya bergantung dengan hutan ini,” katanya.

Mohd Affandi berkata, aktiviti itu pernah dihentikan sementara selama tujuh bulan sebelum ia kembali beroperasi pada Jun lalu.

“Sekali lagi kami berasa terancam dan perlu mempertahankan hak kami serta segala kepentingan dalam hutan. Kehidupan kami Orang Asli bergantung kepada tanah dan air dan jika semuanya musnah, apa makna pada kami,” katanya.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Ralak, Abu Bakar Aluej berkata, kampungnya adalah yang paling teruk menerima kesan penebangan balak itu.

“Penduduk kami adalah yang pertama memulakan bantahan sejak dua tahun lalu dan sehingga kini suara kami tidak dipedulikan langsung.

“Secara umumnya semua tahu akan kesan aktiviti pembalakan tetapi ia masih diteruskan dengan hanya mendapatkan persetujuan dari sesetengah pihak dan bukan dari penduduk kampung,” katanya.

Katanya, dia mahu kerajaan memandang serius akan permasalahan yang dihadapi oleh penduduk Orang Asli dan hentikan pembalakan di tanah yang diduduki sejak tahun 1976.

“Jangan hanya beri janji manis tetapi kami diketepikan akhirnya. Kesannya kami yang tanggung,” katanya – sinar