KUALA KANGSAR 27 Jan. – Malang tidak berbau. Seorang lelaki terpaksa menahan kesakitan lebih sejam apabila tertusuk besi di punggungnya semasa ingin menaiki bot untuk memancing di Sungai Perak, semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu dari Hospital Kuala Kangsar, kira-kira pukul 8.15 malam.

Katanya, mangsa berusia dalam lingkungan 40-an dan dipercayai tertusuk sebatang besi sepanjang kira-kira 0.6 meter yang terpacak pada bot berkenaan.

“Pasukan bomba yang tiba telah menggunakan peralatan khas untuk memotong besi berkenaan. Besi itu dianggarkan sepanjang 0.6 meter.

“Selepas operasi mengeluarkan besi itu berjaya dilakukan selama kira-kira 10 minit, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut,” katanya.

Operasi ditamatkan pada pukul 8.29 malam. – UTUSAN ONLINE