IPOH: Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu (DPPM) Perak meminta kerajaan meneruskan agenda untuk memperkasakan usahawan Bumiputera yang rata-rata masih memerlukan bantuan kerajaan.

Yang Dipertuanya, Datuk Muhammad Muhiyuddin Abdullah berpendapat, dasar-dasar ekonomi yang dibentuk kerajaan terdahulu masih belum mencapai matlamatnya.

Menurut beliau, usahawan Bumiputera, khususnya dalam sektor industri kecil dan sederhana (IKS), masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan usahawan-usahawan lain.

Selain itu, kata beliau, anak muda yang baru berjinak-jinak di dalam sektor perniagaan pula, sangat memerlukan geran dan dana bagi membolehkan mereka terus bersaing.

Sehubungan itu, kata beliau, adalah tidak wajar untuk kerajaan bertindak mengurangkan pemberian bantuan geran atau dana yang amat diperlukan golongan berkenaan.

“Memang tidak dinafikan bahawa ada usahawan Bumiputera yang telah berjaya dan mampu bersaing dengan usahawan lain.

“Bagaimana bilangannya masih kecil sedangkan majoriti daripada mereka tidak mampu bersaing dengan usahawan lain.

“Oleh itu, DPPM Perak berpendapat, belum tiba masanya untuk kerajaan mengurangkan atau menghentikan bantuan kepada usahawan Bumiputera memandangkan mereka tidak disokong oleh sumber pembiayaan kukuh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Baru-baru ini Kementerian Pembangunan Usahawan membayangkan kemungkinan geran kewangan yang disalurkan secara percuma kepada usahawan di negara ini akan dikurangkan dalam Bajet 2019.

Muhiyuddin berkata, tidak rugi kerajaan meneruskan agenda memperkasakan usahawan Bumiputera kerana mereka juga boleh menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Beliau memberi contoh, ramai usahawan Bumiputera yang menerima pelbagai bantuan daripada kerajaan telah menyediakan banyak peluang pekerjaan, khususnya kepada anak muda tempatan.