LUMUT – Kepimpinan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada masa hadapan diharap dapat meneruskan plan Transformasi TLDM 15-5 sebagaimana yang direncanakan sebelum ini.

Panglima Tentera Laut, Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata, plan jangka panjang selama 35 tahun dilihat bakal memberikan banyak manfaat terutamanya bagi meningkatkan keupayaan armada TLDM.

Malah menurut Kamarulzaman, plan berkenaan yang dijangka menjadi realiti pada 2050 itu bakal memberikan pulangan besar kepada negara khususnya daripada aspek keselamatan.

“Apabila kapal-kapal kita sentiasa ada di laut, ia akan berikan perasaan selamat kepada komuniti maritim terutamanya para nelayan dan kapal-kapal yang melalui kawasan kita.

“Secara tidak langsung, perasaan selamat ini akan membantu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

“Selain itu, ia akan memelihara kepentingan strategik negara khususnya dalam industri perikanan, minyak dan gas (di laut) selain saya yakin plan 15 – 5 ini berikan dividen ekonomi, sosial dan seterusnya berikan kita kekuatan holistik,” katanya.

Ahmad Kamarulzaman berkata demikian pada sidang media sempena perbarisan armada (fleet review) dan street lining penghargaan sempena persaraannya di Tambatan Pangkalan TLDM Lumut, hari ini.

Dianggarkan lebih 3,000 warga Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut terlibat pada perbarisan armada serta street lining berkenaan.

Terdahulu, Ahmad Kamarulzaman menerima lintas hormat daripada perbarisan armada yang disertai 12 kapal melibatkan KD Jebat, KD Sri Inderasakti, KD Mahawangsa, KD Lekiu, KD Kasturi, KD Gagah Samudera, KD Teguh Samudera, KD Jerai, KD Kinabalu, KD Mahamiru dan KLD Tunas Samudera di sekitar perairan Pulau Pangkor.

Selain itu empat helikopter melibatkan dua daripada jenis Fennec dan dua jenis Super Lynx turut menyertai perbarisan armada berkenaan.

Sementara itu Ahmad Kamarulzaman menyifatkan acara lintas langsung sempena persaraannya kali ini agak menyentuh hatinya kerana diberikan tabik hormat di atas KD Jebat berikutan dirinya pernah menjadi pemerintah kapal berkenaan suatu ketika dahulu.

Katanya lagi, tabik hormat berkenaan dilihat sebagai penghormatan yang sangat besar kepadanya setelah 42 tahun berkhidmat.

“Saya pernah menjadi pemerintah di kapal KD Jebat ini yang dibina di Scotland dan dibawa pulang pada penghujung 1999 lalu. Penuh emosi serta nostalgia.

“Apatah lagi, tanpa dirancang, difahamkan Menteri Pertahanan Mohd Sabu juga berada di Lumut dan menyaksikan perbarisan armada ini dari udara,” katanya – sinar