TELUK INTAN: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mahu program Fit Masjid yang dianjurkan dengan kerjasama dua portfolio Exco kerajaan negeri diteruskan kerana ia memberi banyak manfaat kepada kariah masjid.

Menurut beliau, selain daripada aktiviti qiamullail dan solat subuh berjemaah, program itu juga dapat membudayakan gaya hidup sihat di kalangan masyarakat setempat.

“Tahniah saya ucapkan kepada pihak yang menganjurkan program ini dan teruskan usaha murni ini,” katanya ketika berucap di majlis pelancaran Kempen Jom Solat Subuh Berjemaah dan Fit Masjid di Masjid As-Saadah, Kampung Bahagia dekat sini pada pagi Jumaat.

Pelancaran kempen itu yang diadakan sempena Permukiman Menteri Besar di Daerah Hilir Perak turut dihadiri oleh beberapa orang anggota Exco kerajaan negeri dan wakil rakyat.

Antara mereka ialah Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air, Datuk Zainol Fadzi Paharudin; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Usahawan, Koperasi, NGO dan Masyarakat Sivil, Datuk Samsudin Abu Hassan; Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria.

WhatsApp Image 2017-04-21 at 08.46.57

WhatsApp Image 2017-04-21 at 08.47.11

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Dr. Muhammad Amin Zakaria; Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan, Datuk Shahrul Zaman Yahya dan ADUN Changkat Jong, Datuk Azhar Jamaluddin.

Program Fit Masjid dilaksanakan dengan kerjasama portfolio Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah serta Sumber Manusia, Belia dan Sukan.

Program bermula seawal jam 4.30 dengan beberapa solat sunat, tasbih dan zikir yang diikuti dengan solat Subuh berjemaah dan tazkirah.

Di dalam ucapannya, Dr Zambry turut menasihatkan anak-anak muda supaya melatih diri untuk solat Subuh secara berjemaah kerana ia dapat membentuk jati diri dan disiplin tinggi mereka.

Selepas pelancaran, beliau dan beberapa Exco kerajaan negeri melakukan walkabout di sekitar kawasan masjid sambil beramah mesra dengan penduduk kampung.