PUCHONG – UMNO tidak boleh lagi mengambil pendekatan berlembut dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bukan sahaja Dr Mahathir malah semua parti di dalam Pakatan Harapan adalah musuh.

“Bagi saya Dr Mahathir walaupun lama pernah jadi presiden kita, dia musuh kita apabila berada di sebelah parti lain dan semua parti yang menyerang UMNO adalah musuh kita. Kalau mereka bersikap menyerang UMNO setiap masa kenapa kita tidak mengambil tindakan yang sama.

“Jadi kenapa pula kita tiba-tiba berlembut dan sebagainya, bagi saya kita teruskan serangan tak kiralah sama ada parti Bersatu, PKR, Amanah, DAP. Dia (Dr Mahathir) dalam perahu lain nak tebuk perahu kita, jadi tugas kita tebuk perahu dia juga,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Perwakilan Tahunan 2019 UMNO Bahagian Subang di sini.

Tambahnya, selaku pembangkang kini tiba giliran BN dan Pas untuk melancarkan serangan terhadap kerajaan.

“Tidak perlu juga selamatkan Anwar (Ibrahim), kalau boleh biar dia bergaduh dan kita berkipas lagi.. biar dia keluar.Mahathir sekiranya tidak tahan ketakstabilan parti PH akan terus isytihar PRU yang kemudian membuka peluang kita bangkit merampas semula,” katanya.

Sebelum itu pada majlis berkenaan Ismail Sabri menerima borang keahlian anak muda yang mahu menyertai UMNO.