PROTON CITY: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu Sukan India Malaysia (SUKIM) diteruskan bagi melahirkan lebih ramai atlet muda kaum India yang boleh diketengahkan ke peringkat tertinggi.

Menurut beliau, kerajaan bersedia memberi sokongan dan bantuan dari pelbagai aspek kerana sukan juga mampu mengubah gaya hidup negatif yang semakin membimbangkan.

Dalam teks ucapan yang dibacakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Timbalan Perdana Menteri mengucapkan syabas kepada MIC kerana berjaya menganjurkan SUKIM yang masuk edisi ke empat tahun ini.

 

SUKIM 4Sementara itu, Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, kegiatan sukan juga dimasukkan ke dalam pelan pembangunan kaum India di negara ini kerana ia mampu mengubah persepsi negatif terhadap generasi muda kaum tersebut yang sering dikaitkan dengan kegiatan jenayah.

“Kalau kita mahu tukar kepada positif, persepsi yang positif, kita kena membuka saluran-saluran yang lain dan salah satu daripada saluran ialah sukan dan lagi satu saluran ialah kebudayaan.

“Memang ada banyak peluang di situ dan generasi muda secara sendiri mereka mempunyai kecenderungan untuk melibatkan diri di dalam bidang-bidang ini.

“Memang kecederungan mereka di situ, kita kena menggunakan itu sebagai satu landasan untuk tarik mereka meningkatkan penglibatan mereka dan itu boleh menjadi sebagai satu cara untuk membangunkan generasi muda yang aktif,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis perasmian SUKIM 2017 di Universiti Pendidikan Sultan Idris Kampus Sultan Azlan Shah di Proton City, Perak pada Khamis.

Hadir sama Pengerusi MIC Perak, Datuk V Elango dan Pengerusi Yayasan Sukan dan Kebudayaan India Malaysia (MISCF) yang menjadi penganjur kejohanan sukan itu.

Dr Subramaniam juga mahu mengembalikan kegemilangan atlet kaum India seperti bekas pemain bola sepak Datuk M Karathu dan Datuk Santok Singh yang turut hadir pada perasmian sukan tahunan itu.

Lebih 1,800 atlet dan 500 pegawai dari 12 negeri mengambil bahagian dalam 11 jenis sukan yang dipertandingan dari 3 hingga 9 Julai ini.