KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Kepong (DAP), Lim Lip Eng dalam ciapannya di laman Twitter berkata: “Para tetamu majlis makan malam memberi tepukan gemuruh apabila saya mengumumkan kekalahan teruk kerajaan PH di PRK Tanjung Piai.”

Ciapan itu dibuat sejam selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Wee Jeck Seng dalam Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai dengan majoriti 15, 086 undi.

Ada netizen yang membalas ciapan itu menyalahkan DAP kerana didakwa menggunakan politik perkauman sehingga berlakunya perpecahan kaum.

Seorang pengguna dengan nama Tehsg pula mengingatkan Lip Eng supaya berjaga-jaga mengeluarkan kenyataan kerana ada kemungkinan Ketua Armada, Syed Saddiq Abdul Rahman akan memberinya tempoh seminggu untuk meminta maaf pula.

ZakirNaikMustGo pula memberitahu Lip Eng supaya memberitahu apa yang berlaku di majlis itu kepada bosnya.

Pengguna Twitter Razak Boss pula berkata ini adalah satu isyarat supaya DAP keluar sahaja daripada Pakatan Harapan.

Johari Yazid pula dengan terang-terangan mendakwa pastinya DAP gembira dengan kekalahan PPBM in Tanjung Piai dengan rakyat sudah bersuara tentang kerajaan yang tidak banyak fungsi ini.

Beberapa hari lepas, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata PH bersedia mengejutkan BN dan UMNO yang sedang bermimpi selesa untuk terus merampas semula kerusi Parlimen Tanjung Piai seperti kemenangan PRK lalu.

Malah Ahli Parlimen Seputeh (DAP), Teresa Kok pula sudah mengajak umum untuk meraikan kejayaan besar PH di Tanjung Piai pagi tadi namun kemudian bertindak memadamkan status Twitter dan Facebook beliau.

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng muncul pemenang kerusi Parlimen Tanjung Piai dengan majoriti lebih besar iaitu 15,086 undi.

Jeck Seng memperoleh 25,466 undi daripada 128 peti undi mengatasi lima pencabarnya.

Pesaing terdekatnya iaitu calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini mendapat 10,380 undi.