KUALA LUMPUR : Keuntungan dicatatkan Lembaga Tabung Haji (TH) menunjukkan keberhasilan usaha pihak pengurusannya dalam merangka strategi pelaburan dan langkah pengurusan kos.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata pengumuman agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.05 peratus itu, mengembalikan kepercayaan pendeposit mengambil kira jumlah dividen agak rendah tahun lalu.

Berikutan pengumuman itu, beliau berkata, ia pasti turut akan mengukuhkan kepercayaan pendeposit dengan terus melabur dan menyimpan dengan TH.

“Mewakili kerajaan Malaysia dan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Ahli Lembaga Pengarah dan Pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) atas keuntungan (sebelum agihan keuntungan) berjumlah RM2.9 bilion yang dicatatkan untuk tahun kewangan 2019.

“Pengumuman ini sudah pasti menggembirakan semua pendeposit, selepas berlaku unjuran positif dalam keuntungan berbanding tahun kewangan lepas pada 2018.

“Pengumuman agihan keuntungan selepas zakat (hibah) sebanyak 3.05 peratus kepada semua pendeposit juga dilihat mengembalikan kepercayaan pendeposit setelah jumlah dividen diterima agak rendah pada tahun lalu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Zulkifli berkata, unjuran positif dicatatkan TH juga dijangka akan memberi galakan kepada pendeposit untuk terus melabur dan menyimpang wang bersama TH.

Oleh itu, beliau menyarankan kepada semua pihak agar meletakkan sepenuh keyakinan kepada Ahli Lembaga Pengarah dan Pengurusan TH yang sentiasa berdedikasi serta memahami hala tuju dalam menjalankan urus tadbir.

“Keuntungan yang dicatatkan ini menunjukkan keberhasilan usaha pihak pengurusan dalam merangka strategi pelaburan dan langkah pengurusan kos.

“Cabaran terbesar TH adalah bagaimana untuk mengukuhkan kedudukan kewangan mereka setelah berlakunya ketidaktentuan pasaran saham berikutan semua pihak berkaitan menggembleng sepenuh tenaga mereka dan berusaha sehabis baik dalam melaksanakan tugasan ini.

“Dengan semangat dan iltizam yang berterusan, sudah tentu dengan izin-Nya, saya yakin TH akan mencatatkan lebih banyak keuntungan di masa depan,” katanya.

Menurut bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu, beliau percaya penubuhan TH adalah berlandasan niat suci bertujuan membantu umat Islam di Malaysia menunaikan rukun Islam kelima.

Beliau berharap semoga TH akan mencatatkan lebih banyak keuntungan pada masa akan datang demi ekonomi dan pembangunan Islam. -BH