KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) akan mengumumkan laporan kewangannya pada setiap tiga bulan bemula suku pertama tahun ini sebagai langkah meningkatkan ketelusan pentadbiran agensi berkenaan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zukri Samat, berkata langkah yang julung kali dibuat oleh TH akan membolehkan pendeposit mengetahui kedudukan kewangan dan prestasi semasanya.

Sebelum ini, TH hanya mengumumkan laporan kewangannya sekali setahun sahaja iaitu selepas berakhir tahun kewangan 31 Disember setiap tahun.

“Bagi meningkatkan ketelusan dalam pentadbiran TH, bermula tahun ini kami akan mengumumkan laporan kewangan setiap sukuan bagi membolehkan pendeposit mengetahui apa yang kami sedang laksanakan,” katanya pada taklimat media mengenai prestasi semasa TH di ibu pejabatnya di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Zukri mengesahkan TH telah menjual tanah Tun Razak Exchange (TRX) kepada kerajaan pada nilai premium.

Katanya, tanah itu serta 28 aset hartanah dan tanah milik TH lain telah dipindahkan ke syarikat tujuan khas (SPV) dengan 18 daripadanya tidak menjana pendapatan.

“Aset ini tidak boleh dicairkan dan tidak sejajar dengan rangka kerja kecairan baharu kami,” katanya.

Tanah TRX seluas 0.56 hektar itu dibeli TH pada 2015 daripada 1Malaysia Development Bhd pada harga RM188.5 juta.

TH menerusi cabang hartanahnya, TH Property Sdn Bhd merancang membangunkan bangunan kediaman setinggi 40 tingkat dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM828 juta dalam tempoh tiga tahun, dengan unjuran pulangan hasil 27 peratus atau sembilan peratus setahun.

TH memindahkan aset bernilai RM19.9 bilion membabitkan 106 ekuiti senaraian awam dan 29 hartanah dan tanah kepada SPV berkenaan yang merangkumi 80 peratus dalam bentuk ekuiti dengan susut nilai melebihi 20 peratus, manakala baki dalam bentuk hartanah dengan hasil di bawah dua peratus.

Sebagai pertukaran terhadap aset itu, SPV terbabit akan menerbitkan sukuk tujuh tahun bernilai RM10 bilion dan RM9.9 bilion Saham Keutamaan Boleh Tebus Islam.

Pemindahan itu bertujuan menstabilkan kedudukan kewangan dengan aset mengimbangi liabiliti, selain membolehkan TH membayar dividen bagi tahun kewangan 2018 – berita harian