Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Polis Perak menempatkan lebih 1,000 anggota bertugas bagi memberi jaminan keselamatan terbaik sepanjang sambutan perayaan Thaipusam di sekitar negeri ini

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) negeri, Senior Asisten Komisioner T Selven berkata untuk tahun 2018 sambutan tersebut bakal diraikan di 25 lokasi tumpuan sekitar negeri dan secara besar-besaran di Ipoh, Sungai Siput dan Manjung.

Menurut beliau, pihak JPJKK telah memulakan tindakan pencegahan jenayah bermula dari seminggu yang lalu di beberapa lokasi tumpuan dan tidak menerima sebarang ancaman yang boleh menggangu gugat perayaan setakat ini.

“Di Ipoh sahaja, seramai 514 anggota ditempatkan menjaga keselamatan awam, turut disediakan tiga balai bergerak masing-masing di tapak Gunung Cheroh, Padang Ipoh dan di kawasan perumahan Waller Court.

Jadi orang ramai tidak perlu khuatir,” katanya kepada pemberita dalam sidang media sempena lawatan ke Kuil Arulmigusubramania di Gunung Cheroh, di sini, hari ini.

Tinjauan Suara Perak mendapati rata-rata kaum India mulai mengunjungi perkarangan kuil di sekitar bandaraya Ipoh seawal jam 6 pagi lagi meskipun Hari Thaipusam disambut seluruh negara pada esok.

Malah, kebanyakan gerai-gerai menjual makanan, pakaian dan peralatan keagamaan yang telah mula beroperasi kinu menjadi tumpuan ramai.

Selven berkata, beberapa jalan di bandar raya Ipoh mula ditutup secara berperingkat, hari ini bagi memberi laluan persediaan sambutan dilakukan.

Antara laluan terlibat adalah Jalan Raja Musa Aziz ke Bulatan Hospital dan Jalan Dato Ahmad Said, Jalan Datuk Onn Jaafar ke Jalan Foo Yet Kai dan Jalan Raja Musa Aziz, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab ke Jalan Dato Sagor dan Jalan Maharajalela.

Katanya, bagi mengelak kesesakan lebih ketara, orang ramai boleh menggunakan perkhidmatan shuttle yang ditempatkan di Padang Ipoh dan Stadium Perak, esok bermula jam 7 pagi hingga 7 malam.

“Kita minta orang ramai memberi kerjasama dengan mematuhi peraturan ditetapkan, paling penting tidak terlalu leka meraikan perayaan, meskipun anggota kita ada, keselamatan tetap menjadi tanggungjawab sendiri,” katanya