Pertubuhan Thalassaemia Perak akan mengadakan Hari Jualan Amal pada 5 Ogos ini bertujuan mengutip dana sebanyak RM150,000 untuk membantu ahlinya.

Penaungnya, Steven Chaw Kam Foon berkata sumbangan yang dikutip itu akan digunakan untuk membantu 188 pesakit Thalassaemia yang berdaftar di bawah pertubuhan itu.

Katanya seramai 100 individu sudah mendaftar untuk menyertai gerai jualan amal yang akan diadakan di auditorium Tow Boo Keong itu akan berlangsung dari 9 pagi sehingga 1 petang.

“Orang ramai yang ingin menyumbang boleh membeli kupon yang kini dijual pada harga RM10 setiap buku. Setiap pembelian kupon dikecualikan cukai,” katanya kepada sidang media di Bangunan Pertubuhan Thalassaemia Negeri Perak, Jalan Masjid pada hari ini.

Steven yang juga ADUN Menglembu berharap kesedaran orang ramai tentang penyakit ini dapat dipertingkatkan melalui aktiviti-aktiviti persatuan.

“Kami menyeru orang ramai untuk memberikan sedikit sumbangan kepada pertubuhan ini sebagai tanda sokongan kepada pesakit-pesakit ini,” katanya.

Tambah Steven, program yang diadakan dua tahun sekali itu juga diadakan sebagai menyambut ulang tahun yang ke-25 penubuhan persatuan tersebut.

Pengerusi pertubuhan ini iaitu Yong Cheng Leong berkata pihaknya telah lama dan banyak memberi bantuan kepada pesakit-pesakit Thalassaemia di negeri ini.

Antara bantuan yang telah diberikan kepada pesakit Thalassaemia di negeri ini termasuklah menyediakan kos rawatan dan pemeriksaan ujian di hospital, kos pembiayaan jarum suntikan untuk pesakit, pemindahan sumsum tulang, kos menghadiri seminar di seluruh negara dan bantuan biasiswa buat pesakit yang ingin melanjutkan pengajian.

Pertubuhan Thalassaemia Negeri Perak ini telah ditubuhkan pada 8 Mei 1993 mempunyai sebanyak 263 ahli termasuklah 75 orang sukarelawan yang pelbagai bangsa.

1/4