Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Kelab The Bos Gaurus MOBS Perak hari ini menafikan sekerasnya terlibat dalam penjualan tiket perlawanan separuh akhir Piala Malaysia Perak menentang JDT edisi kelab peminat dengan harga tidak berpatutan kepada orang ramai.

Naib Presidennya, Mohd Jeffery Amin Abdul Hamid, berkata pihaknya menyedari mengenai ulat tiket yang menggunakan platform laman sosial Facebook pada pagi Ahad dan mengambil tindakan susulan.
Katanya, pihaknya kemudian cuba menghubungi individu tersebut sebelum mendapati beliau bukan merupakan sebahagian daripada ahli Kelab Peminat The Bos Gaurus dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan ulat tiket itu.

“Kami cuba menghubungi beliau kerana kami tidak ingin orang ramai salah faham bahawa TBG cuba mengambil kesempatan, dan tindakan individu ini yang cuba mengambil ruang dengan menjual tiket kepada orang ramai dengan harga RM100 sekeping, memang amat memalukan.

“Justeru, kami telah membuat laporan polis dan kami berharap tindakan segera dapat dilaksanakan, agar ulat tiket sebegini dapat dihentikan dan tidak mencalarkan imej penyokong pasukan Seladang kita dan industri bola sepak tanah air,”katanya kepada Suara Perak ketika ditemui di perkarangan Balai Polis Sungai Senam pada petang Ahad.

Sementara itu, Irwansyah Ishak, 30, yang merupakan ahli jawatankuasa TBG berkata beliau cuba menghubungi lelaki yang menjual tiket kelab peminat itu di laman sosial Facebook namun terkejut dengan jawapan balasnya.

“Saya cuba tanya kenapa perlu letak harga sehingga RM100, sebab kebiasaannya cuma RM11 kalau kelab peminat, tapi dia jawab,

“Hak saya nak jual berapa…ada masalah ke”?

Irwansyah berkata beliau turut cuba mengetahui perihal asal kelab peminat lelaki berkenaan namun dia hanya menekankan bahawa perkara itu sebagai “tiket sahaja”.

Orang ramai diminta untuk tidak mengambil kesempatan dan cuba menggunakan nama-nama kelab peminat atau agensi untuk kepentingan serta keuntungan diri sendiri sempena perlawanan Separuh Akhir JDT menentang Perak pada 8 malam, 15 Oktober ini.