IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yakin pasukan bola sepak Perak – The Bos Gaurus –  menjanjikan sesuatu kelainan dalam saingan Liga Super musim 2017 yang akan bermula 21 Januari ini.


Selepas diselubungi musim suram yang panjang, Dr Zambry berharap pemain akan melakar kebangkitan untuk meletakkan skuad Seladang di atas persada.

Dalam masa sama, beliau mahu penonton juga memberi kelainan melalui sokongan, tanpa melakukan tindakan yang boleh menyebabkan Perak didenda.


 ” Saya yakin kita mampu lakukan kerana Perak pernah menjadi juara.


  “Dengan sokongan dan komitmen yang ditunjukkan oleh Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), penaja, pemain serta penyokong, Perak mampu mencapai sesuatu membanggakan.

 “Kita mahu ke pentas akhir hujung tahun ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengenalan skuad Bos Gaurus dan jersi 2017 di Stadium Perak, sebentar tadi.


  Turut hadir pada majlis itu ialah Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia(FAM), Datuk Zainol Padzi Paharuddin dan Presiden PAFA, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Sementara itu dengan usaha yang dilakukan PAFA, Abdul Puhat berani menanam impian untuk mara ke Stadium Nasional Bukit Jalil.


Katanya, Perak bertuah kerana mendapat sokongan dan bantuan daripada kerajaan negeri berbanding sesetengah pasukan yang menghadapi kemelut kewangan.