Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Tonggak skuad pasukan Seladang, Thiago Junior Aquino dijangka bakal menamatkan khidmatnya dengan pasukan negeri Perak dengan persaraannya pada musim hadapan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata buat masa ini pihaknya sedang mempersiapkan jentera Bos Gaurus untuk menghadapi perlawanan bagi musim hadapan.

Jelasnya, pihak PAFA akan mengekalkan sebahagian besar daripada barisan pemain skuad buat masa ini namun mengakui akan melepaskan sebahagian kecil daripada teraju Seladang.

“Ada sebahagian kecil yang akan tamat tempoh dan sebagainya kerana semua itu bergantung kepada strategi dan kesesuaian pasukan, bukannya bermaksud mereka bagus atau tidak.

“Kita telah mendapat tawaran daripada pemain lain di luar negeri Perak dan kita akan kaji kesesuaian, sekarang saya tak boleh namakan lagi sebab dia masih dalam peringkat perundingan,”katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan lawatan ke beberapa lokasi Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 di Bilik Media, di Hotel Casuarina@Meru pada pagi Khamis.

Tambah beliau, PAFA akan melakukan proses rundingan dalaman untuk hal tersebut dan enggan menamakan nama-nama calon kerana ingin mengelakkan peluang khususnya dari segi harga bagi pemain negeri lain.

Katanya, kesemua isu pemilihan pemain baharu yang bakal menerajui Bos Gaurus dijangka diselesaikam dalam masa dua minggu lagi.

Abdul Puhat berkata antara faktor utama untuk mencari pemain luar adalah disebabkan Yashir Pinto yang sebelum ini mengalami kecederaan selain penyerang utama Thiago yang menyatakan kemungkinan hasrat persaraannya.

“Sekurang-kurangnya dua orang akan kita (PAFA) cari, dan kita akan tengok balik kelemahan kita kerana berdasarkan rekod tahun lepas, lebih banyak bolos daripada jaringan yang dilakukan.

“Maknanya kita kena perbaiki dan kuatkan dasar, kena kukuhkan lagi.

“Saya tak berani komen mengenai sebarang pertemuan antara pemain dengan jurulatih pasukan,Mehmet mungkin itu di luar pengetahuan tetapi sehingga sekarang kita tak mempunyai apa-apa info,”ujarnya lagi.

Abdul Puhat turut menegaskan bahawa PAFA akan bersikap terbuka kerana pasaran pemain moden adalah kemampuan mereka untuk datang dan pergi dalam sebuah pasukan pada bila-bila masa.

“Insya Allah sebahagian besarnya akan bersama lagi, nama besar akan kekal lagi.

“Pada saya, kita nak bermain bukan soal duit, ia soal hati, kalau hati tak sokokg buat apa kita nak kekal,”katanya.