MANJUNG: Pasukan Khas Laut (PASKAL) menafikan dakwaan kononnya terdapat ancaman lanun terhadap pelakon dan kru pengambaran filem PASKAL.

Panglima PASKAL TLDM, Laksamana Pertama Anuar Alias berkata, tiada sebarang ancaman atau ganggu gugat sepanjang pengambaran filem itu dijalankan di lokasi berkenaan.

Menurut beliau, sepanjang pengambaranan itu, keselamatan mereka adalah di bawah tanggungjawab pihaknya dan mereka sentiasa di bawah kawalan PASKAL.

“Saya nafikan, tiada sebarang ancaman terhadap mereka (ketika itu) dan mereka (pelakon dan kru pengambaran) selamat dan sentiasa dalam kawalan kami sepanjang masa, malah Komander ESSCOM juga sudah mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu.

“Yang keluar itu hanya khabar angin atau ada pihak yang senjaga mengadakan cerita untuk cari glamor,” katanya selepas tayangan filem itu di TGV Aeon Manjung di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan mengenai kenyataan pelakon filem PASKAL, Hairul Azreen yang mendakwa hampir menjadi mangsa culik lanun ketika penggambaran filem itu di kawasan Semporna.

Hairul mendakwa, dia dan seorang lagi pelakon, Ammar Alfian nyaris menjadi sasaran lanun ketika penggambaran filem PASKAL di Semporna, pertengahan tahun ini.

ESSCOM menyifatkan kenyataan pelakon tersebut sebagai tidak berasas kerana sepanjang penggambaran filem itu di kawasan yang dirujuk sebagai pelantar Tun Sharifah Roziah (TSR), pelakon serta kru disertai oleh pasukan keselamatan terlatih, Pasukan Khas Laut (PASKAL).

Anuar berharap perkara itu tidak lagi diperbesarkan dan berharap orang ramai menyokong filem berkenaan serta melihat kejayaan misi yang dilaksanakan dan tugas pasukan elit TLDM itu.

Terdahulu, hampir 1,000 penonton menyaksikan tayangan filem itu anjuran Persatuan Veteran PASKAL TLDM dan turut disertai Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu dan Pengerusi persatuan itu, Datuk Nasaruddin Othman.

Dalam pada itu, Anuar berkata, sebahagian hasil kutipan tiket filem itu pada hari ini disalurkan kepada tabung Persatuan Veteran PASKAL.

Sementara itu, Nasaruddin berharap veteran PASKAL akan menjadi ahli persatuan yang telah ditubuhkan ditubuhkan 17 Januari lalu.

“Fokus persatuan sekarang adalah untuk membela bekas anggota dan balu yang hidup serba kekurangan atau sakit supaya kebajikan terbela, justeru saya mengalu-alukan pihak yang boleh diguna menyumbang dana kepada persatuan,” katanya.