PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menafikan ada mengeluarkan arahan berhubung larangan terhadap kanak-kanak dan remaja di bawah usia 18 tahun berada di luar rumah pada waktu malam.

Kementerian itu menegaskan bahawa maklumat berkenaan yang tular di aplikasi WhatsApp dan didakwa dikeluarkan kementerian itu sebelum ini adalah palsu.

“KPWKM tidak mengeluarkan apa-apa arahan berhubung perkara itu. Pihak kementerian memohon semua pihak tidak menyebarkan maklumat palsu ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, satu mesej tular di aplikasi WhatsApp berhubung larangan terhadap kanak-kanak dan remaja di bawah usia 18 tahun berada di luar rumah pada waktu malam berkuat kuasa serta merta, yang didakwa dikeluarkan KPWKM.

Berdasarkan mesej itu, kanak-kanak dan remaja di bawah usia 18 tahun (13 hingga 16 tahun) tidak dibenarkan berada di luar kawasan rumah melebihi jam 10 malam, manakala bagi yang berusia 12 tahun dan ke bawah tidak dibenarkan berada di luar kawasan rumah melebihi jam 8 malam kecuali hal yang tidak dapat dielakkan – berita harian