KUALA KURAU – Kerajaan PH Perak memberi jaminan tidak akan bersikap pilih kasih dan menyerahkan projek tender kerajaan negeri kepada mana-mana kroni parti tertentu sepanjang tempoh pentadbiran mereka.

Jaminan itu disuarakan Exco Kerajaan Negeri Perak, Abdul Yunus Jamhari susulan terdapat tular menerusi aplikasi Whatsapp meminta semua ahli majlis memastikan temuduga tender pembersihan untuk daerah Kerian pada Januari tahun 2019, diberikan kepada semua ahli PKR.

Penularan Whatsapp itu difahamkan sudah disebarkan sejak seminggu lalu dan menimbulkan rasa kurang senang sebilangan penduduk di daerah Kerian.

Abdul Yunus berkata, tindakan pihak tidak bertanggungjawab mengedarkan kiriman mesej berkenaan adalah bertujuan untuk menjejaskan imej PKR dan kerajaan PH Perak pada mata rakyat setempat.

“PKR negeri dan cabang di daerah Kerian tidak pernah mengeluarkan arahan sedemikian dan saya percaya tindakan itu adalah bertujuan untuk mencemarkan nama baik parti dan kerajaan PH.

“Jangan terpedaya dengan taktik kotor sebegini kerana kerajaan PH Perak sememangnya bertekad akan mentadbir kerajaan secara berintegriti dan adil,” katanya ketika ditemui pada program Kembali Ke Sekolah di Pusat Khidmat Adun Kuala Kurau di sini hari ini.

Abdul Yunus tekun menjahit kaki seluar sekolah demi keselesaan pelajar memerlukan. (Gambar kecil: Kiriman mesej Whatsapp yang tular dikatakan dibuat pihak tidak bertanggungjawab mengundang rasa kurang senang penduduk daerah Kerian.)
Abdul Yunus tekun menjahit kaki seluar sekolah demi keselesaan pelajar memerlukan. (Gambar kecil: Kiriman mesej Whatsapp yang tular dikatakan dibuat pihak tidak bertanggungjawab mengundang rasa kurang senang penduduk daerah Kerian.)

Dalam perkembangan lain, Abdul Yunus bersyukur inisiatif program gunting rambut dan membaiki seluar secara percuma mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan rakyat di kawasan Kuala Kurau.

Menurutnya, program ini yang pertama kali dijalankan diserbu hampir 100 pelajar dan ibu bapa sempena sesi persekolahan baharu 2019.

“Saya percaya program ini mampu menjimatkan perbelanjaan sekolah kerana kos gunting rambut dan membaiki seluar sekolah agak mahal berbanding caj yang dikenakan hanya RM5 bagi gunting rambut dan potong kaki seluar juga RM5.

“Harga untuk gunting rambut dan potong seluar di kedai luar akan meningkat dan kebanyakan tukang jahit enggan menerima tempahan membaiki seluar,” katanya.

Setiap pelajar yang membeli pakaian sekolah perlu membaikinya bagi memberikan keselesaan kepada mereka.

“Saya boleh menjahit sejak umur saya 14 tahun kerana saya sering bantu keluarga dengan mengambil upah menjahit pakaian,” katanya – sinar