TANJUNG MALIM: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menempelak tindakan pihak yang menuduh Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) cuba mengambil kesempatan ke atas pelatih-pelatih SL1M sebagai pekerja kontrak.

Katanya, SL1M adalah satu platform untuk golongan lepasan universiti bagi mendapatkan latihan dan peluang pekerjaan selain mengembangkan kebolehpasaran kerja justeru tidak wujud scenario memanipulasi pelatih-pelatih berkenaan.

“Mereka mengatakan SL1M memanipulasi graduan, dari mana mereka dapat fakta itu saya pun tak faham, setahu saya puluhan ribu graduan datang ke sini untuk mendapatkan latihan dan peluang.

“Saya kenal sendiri, 2,3 orang yang mengatakan perkara sebegini, mereka tidak ada fakta dan bukti kukuh tentang SL1M mengambil kesempatan atau menyalahgunakan ruang itu kepada pelatih,”katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian setelah hadir dalam Program Temuduga Terbuka Skim Latihan 1Malaysia Peringkat Zon Barat yang dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini, hari ini.

Tambahnya, sejak penubuhannya pada tahun 2011 SL1M telah berjaya menawarkan lebih daripada 135,000 peluang pekerjaan melalui siri jelajah di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

“Apa yang dilaksanakan SL1M adalah untuk memenuhi demand and supply, kerana kebiasaannya ramai yang mencari pekerjaan melalui portal dan ruang iklan tetapi pendekatan kita lebih agresif, iaitu menemukan syarikat dan pelatih dalam tempat yang sama, jadi ini bukan kerja yang senang,”katanya lagi.

Tambah beliau, SL1M juga bukan program yang bersifat lepas tangan di mana kakitangannya akan sentiasa memastikan perkembangan dan memantau baik golongan pelatih dan mereka yang berjaya mendapatkan pekerjaan.

“Sekiranya pelatih ini mempunyai masalah, walaupun mereka telah selesai menjalani latihan program, SL1M bersedia terus memberikan perhatian, dan pengalaman kami pula, mana-mana pelatih yang didapati reputasi kerja baik akan diserap terus ke dalam SL1M,”ujarnya lagi.

Lebih daripada 12,000 peluang pekerjaan ditawarkan oleh 61 agensi dan syarikat kepada lepasan graduan sepanjang dua hari berlangsungnya Program Temuduga Terbuka SL1M Zon Barat di UPSI bermula 23 hingga 24 September ini.