KUALA LUMPUR ; Mahkamah Tinggi dalam kes rasuah bekas menteri wilayah persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memutuskan bahawa tidak terdapat bukti bahawa Umno telah menerima RM2 juta dari Aset Kayamas Sdn Bhd.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan turut berpendapat bahawa RM2 juta itu dimanfaat oleh tertuduh (Tengku Adnan) dan ini diterima tanpa pertimbangan yang berharga.

“RM2 juta itu yang diberikan oleh pihak kedua (Aset Kayamas) dibayar kepada Tadmansori Holdings Sdn Bhd, dan pergerakan wang itu berakhir di situ. Tidak terdapat hubungan yang bayaran itu dibuat kepada Umno daripada akaunTadmansori Holdings,” kata hakim.

Hakim itu berkata resit saja tidak menjadi bukti yang Umno telah menerima RM2 juta itu dari Aset Kayamas.

“Hakikat bahawa resit itu ditandatangani oleh tertuduh sendiri tidak terlepas daripada pemerhatian saya.

“Saya telah juga menganalisis dan mempertimbang testimoni Tan Sri Chai Kin Kong (pengarah urusan Aset Kayamas dan saksi pendakwaan ke-19) dan pegawai penyiasat Muhammad Saad Bordani (saksi pendakwaan ke-23),” katanya.

Hakim Mohamed Zaini berkata Tengku Adnan memiliki Tadmansori Holdings, sebagai pemegang saham terbesar dan bukti juga menunjukkan tertuduh menjalankan syarikat itu dan pembuat keputusan utama.

“Pada asasnya beliau adalah alter ego (pengganti diri) syarikat,” kata hakim.

Hakim menyatakan Aset Kayamas tidak mempunyai urusan bisnes dengan Tadmansori Holdings tetapi tidak dipertikaikan bahawa Aset Kayamas telah membayar RM2 juta kepada Tadmansori Holdings.

“Saya juga dapati tidak ada bukti menunjukkan bahawa Aset Kayamas, pemberi, telah mendapat sebarang pertimbangan kerana RM2 juta yang ia beri,” kata beliau.

Hakim itu berkata bukti jelas menunjukkan bahawa Tengku Adnan tahu yang Aset Kayamas ada urusan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kapasitinya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.