IPOH: Setakat ini tiada kajian atau cadangan penubuhan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Kampar, kata Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid.

Bagaimanapun, kata Zahir, kerajaan negeri mengalu-alukan sebarang cadangan tempat dan lokasi yang bersesuaian, selaras dengan konsep Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di daerah itu.

Menurut beliau, UTC adalah salah satu usaha dan inisiatif kerajaan bagi menyediakan pelbagai perkhidmatan utama kerajaan dan swasta kepada komuniti bandar di dalam satu pusat sehenti.

“Komuniti bandar boleh membuat pelbagai urusan dengan jabatan kerajaan dan swasta dalam satu bangunan dengan menjimatkan masa,” katanya ketika menjawab soalan lisan Chen Fook Chye (DAP-Keranji) di sidan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Zahir berkata, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) pula merupakan pemacu dan pelengkap kepada Program Transformasi Luar Bandar yang bertujuan mempercepatkan peningkatan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat.

Menurut beliau, kerajaan negeri sedar bebanan yang ditanggung oleh rakyat di daerah Kampar untuk mendapatkan beberapa perkhidmatan kerajaan.

Dalam hubungan ini, kata beliau, Unit Strategi Nasional, Kementerian Kewangan (NSU) dengan kerjasama kerajaan negeri telah mengadakan program `Mobile Community Transformation Center’ (Mobile CTC) yang memberikan perkhidmatan kerajaan melalui bas atau van bergerak.

Beliau memberitahu, antara jabatan yang memberi perkhidmatan itu ialah Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Pengangkutan Jalan, PTPTN, Tabung Haji dan Polis Diraja Malaysia di Kampar.

Tambahan pula, katanya, Pejabat Pos juga telah memberi perkhidmatan-perkhidmatan kerajaan seperti memperbaharui lesen, cukai jalan, bayaran sama dan simpanan Tabung Haji.