Tiada Diskriminasi Politik Dalam Pemilihan Ahli Dewan Belia

IPOH: Ahli Dewan Belia Perak menegaskan bahawa tidak berlaku sebarang proses pemilihan berasaskan kepentingan politik atau persendirian dalam mempersiapkan senarai calon dalam dewan tersebut.

Pengerusi Agama dan Kerohanian bagi Parlimen Belia Malaysia 2017, Mohd Adri Adha Mohamed berkata, isu tersebut tidak seharusnya menjadi persoalan kerana ia telah diperjelaskan pada sidang Dewan Negeri Perak yang lalu.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kerjaya, Sukan, Kebudayaan dan Kesenian Dewan Belia Perak itu turut menjelaskan bahawa setiap promosi dan informasi mengenai pencalonan ahli dewan dilaksanakan secara aktif melalui media sosial.

“Pemilihan ini sebenarnya berlandaskan beberapa faktor, mereka mestilah golongan B-30 dan setelah nama mereka dihantar ke Institut Darul Ridzuan (IDR) maka pihak berwajib seperti Jabatan Belia dan Sukan, Jabatan Perdana Menteri dan banyak lagi akan mengemukakan satu senarai khusus untuk yang terpilih.

“Namun, di antara semua kriteria yang digariskan ahli Dewan Belia tidak pernah dipilih berdasarkan lokaliti atau kawasan, sebaliknya mewakili jawatankuasa masing-masing dan daripada situlah mereka menyuarakan isi hati rakyat,” katanya kepada Suara Perak dalam sidang media di Bilik Media, Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas desakan Pemuda Sosialis Perak (DAPSY) agar kerajaan negeri dapat meneliti semula proses pemilihan serta pencalonan bagi ahli Dewan Belia Negeri Perak.

Ketuanya, Wong Kah Woh berkata, pihaknya mengharapkan agar proses pencalonan yang terbuka kepada semua belia di bawah umur 30 tahun akan bersifat lebih telus dan terbuka.

Adri mengesyorkan agar pihak pembangkang dijemput ke Dewan Belia Negeri Perak pada 6-7 Mei ini dalam usaha mendapatkan komen yang menyumbang idea bernas kepada Dewan Belia Perak.

“Kami tiada masalah, malah kami cadangkan agar mereka datang memberikan pendapat, menjadi tulang belakang dan bersama menggerakkan Dewan Belia, siapa tahu cadangan mereka akan membantu kita seadanya? ujarnya.

Pengerusi Jawatankuasa Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Dewan Belia, Naim Al Amin pula mengakui, beliau sendiri yang tidak mempunyai mana-mana persatuan dan parti politik, hampir berputus asa ketika menyertai Kursus Pemilihan Ahli Dewan Belia Perak di Tronoh pada tahun lepas.

“Namun, saya teruskan kursus selama tiga hari dua malam kerana Perak ingin memilih mereka yang mempunyai jati diri tinggi, bersuara sebagai pemimpin muda yang kental dari segi mental dan fizikal.

“Saya juga ingin mengingatkan bahawa ahli Dewan Belia boleh datang daripada belia tercicir, bermasalah dan sebagainya, bukan hanya dari golongan cerdik pandai sahaja,” ujarnya.

Sementara itu, wakil Jawatankuasa Ekonomi, Usahawan, Pelancongan dan Antarabangsa, Nadzmi Zalizon berkata, mereka perlu melalui proses penapisan calon yang amat ketat dan diadili oleh pihak berkredibiliti tinggi.

“Saya rasa kenyataan bahawa pencalonan itu tidak jelas adalah tidak sesuai, kerana semua yang terpilih adalah mereka yang telah diajar cara berbahas, mengutarakan idea dan mempertahankan pandangan masing-masing dan paling penting ianya tidak berkepentingan dan berpolitik,” katanya.