IPOH: Sukan sewajarnya tidak menjurus kepada politik kepartian dan seharusnya bersifat ‘colour blind’ (tidak berat sebelah) demi menyatupadukan rakyat menerusi bidang itu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, kecenderungan pihak tertentu menganjurkan program sukan berbentuk kepartian akan membantutkan usaha penyatuan masyarakat.

“Memetik titah ucapan DYMM Tuanku, sukan berupaya menyatupadukan rakyat bermakna ungkapan ini sememangnya benar dan kerajaan negeri telah dan akan terus menggerakkan promosi sukan hingga ke akar umbi.

“Jangan pula kita libatkan isu politik parti kerana bila ia berkaitan tentang sukan sepatutnya kita kena ‘colour blind’, tidak perlulah letak logo atau ‘banner’ mana-mana parti sekalipun,” katanya ketika menggulung perbahasan di Sidang DUN ke-13 pada Isnin.

Dalam pada itu, tegas Shahrul, pihak kerajaan melalui program ‘Community Fit’ (senamrobik atau berbasikal dan larian hujung minggu) yang diadakan sejak tahun 2015 di setiap daerah memberi impak positif.

“Penganjuran program itu dilaksanakan di setiap daerah dan telah banyak menarik minat masyarakat untuk bergiat aktif dalam bersukan. Pada tahun 2015, seramai 23,154 orang terlibat manakala tahun 2016 seramai 25,065 orang,” ujarnya.