PARIT – Tiada halangan jika jenazah luar ingin dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Dusun Hilir asalkan mendapat persetujuan dari waris.

Penggali kubur Tanah Perkuburan Islam Kampung Dusun Hilir, Mohd Said Zar, berkata, sesiapa sahaja yang meninggal dunia perlu dimaklumkan kepada pihak pengurusan kubur terlebih dahulu bagi menguruskan proses pengkebumian.

“Setakat ini terdapat enam penggali kubur termasuk saya sendiri dan kami menguruskan jenazah sebaik mungkin bermula dari mengorek liang lahad, memandikan jenazah dan mengkebumikannya hingga selesai.

“Siapa sahaja yang ingin dikebumikan di sini kami akan uruskan sebaik mungkin cuma waris si mati perlu memaklumkan kepada kami bagi memudahkan urusan pengkebumian,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Menurut Mohd Said, selain jenazah yang tinggal di Kampung Dusun Hulu dan Kampung Dusun Hilir, mereka juga menerima jenazah luar yang dahulunya penduduk kampung berkenaan tetapi berpindah atau merantau.

“Ada juga jenazah yang datang dari Kuala Lumpur misalnya, tetapi orang tua mereka atau ahli keluarga terdekat menetap di kampung ini, kami juga terima dan uruskan.

“Jadi kami tidak menghadapi sebarang masalah menerima jenazah luar untuk dikebumikan di kampung ini,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Exco Kerajaan Negeri, Asmuni Awi bahawa kerajaan Perak memandang serius tindakan beberapa pengurusan tanah perkuburan Islam yang enggan menerima jenazah daripada luar untuk ditanam di kawasan mereka.

Sementara itu, penggali kubur di Tanah Perkuburan Islam Tambun, Muhammad Syahmi Irsyad Abdul Ghani, 27, berkata, tanah perkuburan di Tambun sebenarnya masih lagi terbuka kepada orang ramai khususnya waris yang mahukan jenazah keluarga masing-masing dikebumikan di kawasan berkenaan.

“Kalau ikutkan, kami di Tambun memang terbuka. Setakat ini, orang Arab, orang putih dah banyak dikebumikan di sini.

“Selain itu, nama kami sudah pun ada di pejabat agama. Biasanya kalau hospital dah tak ada tempat nak kebumi kan jenazah, mereka akan hubungi saya atau ayah saya untuk urusan pengkebumian,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Syahmi berkata, dia dan ayahnya masih lagi mengenakan harga perkhidmatan yang sama bagi sesiapa sahaja yang dikebumikan di situ – sinar