IPOH – Tiada halangan akan dibuat terhadap mana-mana individu yang berhasrat bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar pada Jun hadapan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, rakyat mempunyai hak untuk bertanding dalam pilihan raya.

“Itu biasalah, sebab inikan negara demokrasi mana boleh nak halang orang nak bertanding, tidak kira siapa pun,” katanya pada sidang media selepas merasmkian Majlis Penyerahan Sumbangan kepada 24 UMNO Bahagian dan Anak Yatim di Bangunan negeri UMNO Perak pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan Naib Setiausaha Pemuda UMNO Taman Cempaka, Syed Rosli Syed Harman Jamalullail yang mengakui akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar 18 Jun ini sebagai calon bebas.

Namun, Dr Zambry yang juga merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri berkata, Syed Rosli masih perlu mengikuti peraturan parti sebagai ahli.

“Kita tak boleh menghalang sesiapa untuk bertanding, namun bagi pihak parti, setiap ahli mesti mematuhi undang-undang dan peraturan yang bukan sahaja dipakai UMNO tetapi juga parti-parti lain.

“Kalau dia orang UMNO dia tidak akan bertanding,” ulas beliau lagi.

Syed Rosli baru-baru ini mengumumkan akan bertanding sebagai calon bebas pada PRK Kuala Kangsar selepas kecewa dengan keputusan BN berhubung pemilihan calon.

Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula dalam satu laporan berita berkata, Syed Rosli akan dipecat daripada UMNO sekiranya bertanding pada PRK itu.

Ujar beliau, tindakan itu pasti akan dilakukan parti kepada sesiapa sahaja ahlinya yang bertanding dalam pilihan raya menentang calon Barisan Nasional (BN).