IPOH– Persaingan untuk menentukan siapa ‘lebih melayu’ dan ‘lebih Islam’ dalam parti politik akan menyebabkan sesebuah parti itu bersikap radikal kepada isu-isu yang melibatkan Melayu dan Islam.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata Amanah tidak sama sekali berhasrat untuk bersaing dengan Pas khususnya, untuk mencari siapa yang lebih berpengaruh.

“Kita tidak bersaing dengan Pas mahupun parti lain atas siapa yang lebih Melayu dan siapa yang lebih Islam, persaingan ini tidak sihat kerana itu akan akan menjadikan parti tersebut kemungkinan bersikap radikal.

“Apa yang kami lakukan sebagai parti Amanah ialah melontarkan naratif baru, kami tidak berhasrat untuk berlumba-lumba di atas persaingan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media di majlis penutup Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara 2018, di Ipoh pada Ahad.

Mujahid menambah fokus Amanah kini untuk membina parti yang dapat memacu negara untuk sekali lagi menjadi harimau asia.

“Kalau mengajak kami bersaing siapa yang boleh mengumpulkan orang lebih ramai dalam isu perkauman ataupun isu Islam yang sempit, kami minta maaf itu bukan medan kami,” katanya lagi.