KUALA LUMPUR : Tiada sebarang jaminan semua usaha yang dilakukan ketika ini akan mencapai apa yang diinginkan walau apa yang dilakukan, kata Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Bercakap di depan anggota Majlis Hubungan Luar (CFR) AS di New York malam ini (waktu Malaysia) perdana menteri berkata, ketika beliau melepaskan jawatan pada 2003, negara ditetapkan di landasan untuk mencapai matlamat yang dipersiapkan.

“Ekonomi dalam keadaan baik, politik OK, mekanismenya berjalan dan di sana ada kestabilan.

“Tetapi pemimpin yang lain mempunyai pandangan yang lain….

“Jadi sekarang pun saya tak boleh jamin sesiapa saja yang menggantikan saya akan melakukan (apa yang dirancang) dengan baik, tetapi apa yang kita boleh buat ialah menetapkan langkah-langkah yang perlu untuk berjaya,” katanya.

Sesi dialog bersama CFR itu adalah sebahagian daripada jadual beliau yang melakukan kunjungan rasmi ke AS. Esok Mahathir akan menghadiri Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

CFR ditubuhkan pada 1921 dan merupakan badan bukan berasaskan keuntungan. Ia memberi tumpuan kepada hal-ehwal dasar luas dan antarabangsa AS.

CFR mempunyai keanggotaan seramai 4,900 orang termasuk ahli politik, peguam, personaliti media serta ahli akademik.

Perdana menteri diperkenalkan di majlis itu oleh bekas Penolong Setiausaha Negara bagi Hal-ehwal Timur Jauh, Christopher Hill.

Sebelum ini Hill juga pernah dilantik sebagai duta AS ke Korea Selatan.

Hill memperkenalkan Mahathir sebagai salah seorang ‘harimau’ serantau dan Malaysia merupakan sebuah kisah kejayaan di Asia.

“Saya fikir kami boleh mencapai matlamat untuk menjadi negara mahu menjelang 2030,” kata Mahathir.

Kali ini, kata beliau, Malaysia memiliki tokoh yang lebih jujur walaupun pada masa sama mereka kurang berpengalaman.

“Kami sudah memperbetulkan situasi kewangan dan mengurangkan hutang,” katanya.

Ditanya mengenai tindakan kerajaan terhadap gejala rasuah – termasuk ke atas Najib Razak – Mahathir berkata kerajaan memang komited untuk membasminya.

“Kami ada sebuah pertubuhan (SPRM) yang akan menangani rasuah di pelbagai peringkat.

“Apa yang berlaku sebelum ini ialah apabila perdana menteri korup, pemimpin bawahan juga korup. Maka kami perlu menggantikan mereka juga dan jika mereka (terbabit) maka mungkin akan ada tindakan diambil,” katanya.

Dalam sesi itu juga perdana menteri memberitahu Malaysia berjaya memerangi amalan rasuah berskala besar sehingga ke tahap hampir tiada langsung.

Pada masa sama katanya kerajaan akan mencari jalan mengatasi amalan itu di peringkat lebih kecil

“Orang ramai sedar bahawa kami tidak bertolak ansur terhadap rasuah,” katanya.

Sementara itu mengulas mengenai isu kemiskinan, Mahathir dililhat mengambil pendekatan berlainan berbanding dengan pandangan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Kata perdana menteri, majoriti orang miskin di Malaysia terdiri daripada bangsa Melayu dan sesetengah daripada mereka – yang tidak miskin – masih mahukan bantuan kerajaan.

“Orang Melayu tidak akan memberikan sokongan kepada kamu kalau kamu tidak memberi perhatian khas kepada mereka sebagai orang Melayu yang miskin.

“Anwar memberikan pandangan yang betul mengenai isu kemiskinan, tetapi kamu perlu menjaga mereka (orang Melayu) atau kamu akan kalah dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Sebelum ini Anwar berpendapat langkah afirmatif menangani kemiskinan perlu diberi berdasarkan kepada keperluan golongan miskin, bukan mengikut kaum.