PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata partinya tidak membincangkan mengenai sebarang rombakan Kabinet dalam kerajaan.

“Kami tidak bincang perkara ini dalam parti kami,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP), hari ini.

Ditanya samada Kabinet akan mengajak Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyertai Kabinet, Dr Mahathir berkata, tiada ahli Kabinet yang mahu melepaskan jawatan masing-masing untuk diberikan kepada Anwar.

“Kerajaan tidak akan buat perubahan atau penambahan jumlah ahli Kabinet.

“Tidak sesiapa yang nak letak jawatan, kami tidak ada kekosongan. Kalau ada kekosongan kami akan fikiran calon-calon yang sesuai,” katanya lagi.

Bayangan untuk membuat rombakan Kabinet mula tersebar apabila Ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed dikhabarkan akan dilantik sebagai menteri.

Khamis lalu, Dr Mahathir mengesahkan bahawa tidak ada rombakan kabinet dalam masa terdekat ini seperti yang diperkatakan oleh beberapa pihak, khususnya, media tempatan.

Sebaliknya, kata beliau, perbincangan hanya membabitkan pertukaran portfolio beberapa menteri.