IPOH: Perak merupakan antara negeri yang tidak mengenakan kenaikan cukai setakat ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Katanya kadar cukai pintu dan cukai tanah di negeri ini masih sama dan tidak berubah sejak sekian lamanya.

Kata beliau kerajaan negeri mengambil keputusan tidak menaikkan cukai pintu dan cukai tanah kerana memahami beban hidup yang ditanggung rakyat pada masa ini berikutan kenaikan harga barang.

“Walaupun kita mempunyai kuasa malah dinasihatkan kerajaan pusat untuk menaikkan kadar cukai pintu dan cukai tanah tetapi kita tidak lakukan kerana memahami bebanan yang dihadapi rakyat pada masa ini,” katanya kepada pemberita semasa sidang media hari kedua persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.

Menteri Besar menjawab dakwaan Datuk Ngeh Koo Ham (Sitiawan-DAP) bahawa pemilik rumah dikenakan cukai tinggi.

Sambil menafikan dakwaan Ngeh itu, beliau menegaskan tiada perubahan pada kadar cukai pintu di negeri ini.

Beliau bagaimana pun berkata cukai lebih tinggi itu mungkin berpunca daripada cukai tambahan yang dikenakan kepada pemilik yang membuat pengubahsuaian rumah menyebabkan mereka tidak lagi menikmati kadar sama seperti orang lain.

Mengenai isu lain yang dibangkitkan Ngeh, Dr Zambry berkata tanah tanah percuma yang telah diberikan kepada beberapa pihak adalah bertujuan untuk melaksanakan projek perumahan rakyat.

Katanya, matlamat utama pemberian tanah itu termasuklah kepada Yayasan Bina Upaya (YBU) untuk tujuan perumahan di bawah Skim Rumah Insan Amanjaya (SRIA).

“Setelah dikenalpasti, kita akan minta YBU buat rumah dan walaupun ianya memakan kos tinggi tetapi akan dijual pada harga yang kita tetapkan.

“Malah, ada kawasan tertentu yang akan kita berikan bantuan bagi tujuan pembinaan infrastruktur bagi kawasan perumahan rakyat,” katanya.

Beliau berkata bagaimanapun pihaknya akan menilai keperluan tersebut secara lebih teliti kerana menjadi komitmen kerajaan untuk membuat lebih banyak rumah kos rendah untuk semua.

Beliau bagaimana menghargai cadangan Ngeh supaya kerajaan mengadakan lebih banyak polisi bersifat pro-perniagaan terutama kepada pemaju perumahan sebagai salah satu cara memastikan kos rumah kekal pada tahap munasabah.

Sementara itu, Ketua Pengarah Eksekutif Yayasan Bina Upaya
(YBU), Datuk Ismail Safian berkata pihaknya kini sedang aktif melaksanakan pembinaan rumah kos rendah di seluruh negeri Perak.

“Projek terbaru kita adalah mengenalpasti tanah seluas 2 ke 3 ekar di Batu 4, Segari bagi membina 16 unit manakala 9 unit di Kampung Teratai, Kamunting yang kini dalam proses pembinaan,” katanya.

SRIA merupakan salah satu produk YBU yang sangat berjaya kerana ia benar-benar memberi manfaat kepada kumpulan sasar di mana hamper 30 penerimanya adalah senarai kumpulan E-Kasih, katanya.