PARIT: Mulai 1 januari tahun hadapan, anggota polis yang gagal mematuhi kriteria di bawah program `trim and fit’ tidak akan diberi pertimbangan kenaikan pangkat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, mereka perlu akur dengan arahan yang diberikan, bagi memastikan mereka sentiasa cergas dan sihat.

Menurut beliau, sebagai pihak yang menjaga dan menangani masalah keselamatan negara, anggota polis di semua peringkat, termasuk beliau sendiri, perlu bekerja 24 jam.

“Kalau kita tidak sihat, macam mana kita nak jaga keamanan dan keselamatan negara,” katanya dalam sidang media sempena majlis sambutan Hari Sukan Negara peringkat PDRM di SMK Sultan Muzaffar Shah I, di sini pada Sabtu.

Program ‘trim and fit’ diperkenalkan sejak tahun 2016 untuk warga PDRM bagi memastikan tahap kesihatan pegawai dan anggotanya menjadi lebih baik.

trim n fit 2

Program itu akan menjadi antara prasyarat bagi kenaikan pangkat dan pengesahan jawatan di kalangan 120,000 anggota dan pegawai polis di seluruh negara.

Pelbagai acara diadakan sempena sambutan Hari Sukan Negara Peringkat PDRM, antaranya berbasikal, pertandingan mewarna, tarik tali, sepak raga ratus, pertunjukan payung terjun, demonstrasi latihan kecergasan dan bina badan.

Kira-kira 10,000 anggota polis dan penduduk tempatan membanjiri padang SMK Sultan Muzaffar Shah di Lambor Kanan yang juga kampung kelahiran Mohamad Fuzi.

trim n fit 3