IPOH: Kerajaan negeri Perak memutuskan bahawa buat masa ini tidak ada keperluan untuk menaikkan tarif air untuk keperluan domestik.

Keputusan itu dibuat kerana buat masa ini, Lembaga Air Perak (LAP) masih mampu untuk menampung subsidi bagi keperluan sektor berkenaan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagaimanapun mengakui, kemungkinan terdapat kenaikan tarif untuk kegunaan sektor komersial.

“Dalam waktu tarif air yang tidak naik ini, namun alhamdulillah Lembaga Air Perak telah mencatatkan keuntungan dari setahun ke setahun dan ini amat kita banggakan dan kita perlu pelihara prestasi Lembaga Air Perak ini.

“Tapi dalam masa yang sama kita mendapati oleh kerana kos semakin meningkat dan kita tidak mampu untuk terus menggunakan rezab yang ada untuk, contohnya untuk mengurangkan masalah NRW (air tidak terhasil) dan sebagainya.

“Ini kalau kita gunakan rezab kita, akhirnya ia akan berkurangan dan ini akan menyukarkan operasi LAP di masa yang akan datang.

“Jadi, memang ada keperluan untuk kenaikan tetapi kita kena pastikan kenaikan tidak menyusahkan rakyat,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan `Jom Crazy Carnival Ipoh 2019’ di sini pada Jumaat.

Pada Khamis, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr A Xavier Jayakumar berkata, semua negeri secara dasarnya bersetuju melaksanakan pelarasan kadar tarif air yang dijangka dilaksanakan tahun depan.

Bagaimanapun, katanya ketika ini kementerian masih lagi mengadakan rundingan lanjut berhubung beberapa perkara sebelum keputusan mengenainya dimuktamadkan.

Ahmad faizal memberi jaminan, seandainya berlaku kenaikan tarif untuk sektor komersial, ia hanyalah kenaikan minima dan tidak akan membebankan para pelabur.

Dalam masa sama, katanya, Perak akan meneruskan program pendidikan di kalangan seluruh rakyat supaya mereka terus berjimat cermat di dalam penggunaan air.