KUALA LUMPUR : Kerajaan tidak melihat keperluan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) mengejut, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri sebaliknya meminta rakyat Malaysia memberikan peluang kepada kerajaan diterajui Perikatan Nasional (PN) untuk membuktikan prestasi mereka dan menyediakan perkhidmatan terbaik, sebelum penggal pentadbiran berakhir dalam tempoh kurang tiga tahun lagi.

“Ini hari pertama, berilah kami peluang, masih jauh perjalanan, tapi sudah pasti ia penting, kita perlu tahu apa yang perlu dilakukan. Diharapkan jika kita berikan prestasi yang baik, rakyat melihat kerajaan ini sangat membantu, maka kita akan dapat mandat pada PRU-15.

“Tetapi masih awal untuk berkata demikian,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet pertama, hari ini.