KUALA LUMPUR : Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata tiada keperluan untuk kerajaan membentangkan kertas putih mengenai penyebaran ideologi dan kegiatan individu disyaki ada kaitan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) bagi mengelakkan ia mengganggu siasatan polis.

“Saya berpendapat kita harus beri ruang kepada polis tanpa perlu banyak persoalan,” katanya di lobi Parlimen hari ini mengulas permintaan PAS untuk kerajaan membentangkan kertas putih berhubung isu LTTE.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, isu itu menjadi kepentingan umum susulan penahanan 12 individu, termasuk dua Adun dan dua ahli DAP di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 pada minggu lalu.

Anwar yang juga ahli Parlimen Port Dickson berkata, tidak wajar segelintir pihak mempersoalkan proses siasatan polis.

“Kita harus beri peluang kepada polis basmi jenayah (dan) keganasan…polis tidak harus rasa tertekan dengan terlalu banyak gangguan.”

Exco Melaka yang juga Adun Gadek, G Saminathan dan Adun Seremban Jaya, P Gunasekaran bersama dua ahli DAP Melaka antara 12 individu ditahan polis pada Khamis serta Sabtu lalu kerana disyaki ada kaitan dengan kumpulan pengganas LTTE.

LTTE disenarai hitam sebagai kumpulan pengganas di Malaysia sejak 2014.