IPOH: Pemuda Amanah Perak menegaskan bahawa tiada keperluan Dr Maszlee Malik untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pendidikan berhubung isu kuota pengambilan pelajar program matrikulasi.

Ketuanya, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, rekod menunjukkan banyak inisiatif yang telah dan sedang diperkenalkan Dr Maszlee di dalam memacu pendidikan negara ke arah sistem yang lebih baik pada masa hadapan.

“Pemuda AMANAH Negeri Perak ingin mengingatkan kepada pihak-pihak tertentu yang cuba menjadikan isu ini sebagai isu perkauman, agar menghentikan sebarang bentuk provokasi kerana tindakan sedemikian tidak mendatangkan sebarang faedah dan kebaikan kepada pendidikan negara,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, Pemuda AMANAH Perak berpendapat supaya satu perbincangan tertutup antara pimpinan semua pihak yang berkaitan diadakan berhubung isu berkenaan yang menjadi perdebatan hangat akhir-akhir ini.

Katanya, ia bagi memberi peluang agar data dan maklumat terperinci dapat dibentangkan seterusnya membuat penilaian sama ada tujuan serta matlamat asal program itu telah tercapai atau sebaliknya, sebelum apa-apa tindakan berkaitan kuota pengambilan ditentukan.

“Pada ketika ini, kami melihat kuota sedia ada dan pengumuman penambahan jumlah pengambilan daripada 25 000 kepada 40 000 tempat kepada pelajar untuk program ini dikekalkan dan diteruskan,” ujarnya.

Selain itu, kata Hasnul, pihaknya berpandangan supaya program Tingkatan 6 untuk pelajar mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) diperkasakan dan dinilai sama ada wujud keperluan bagi menambah bilangan tempat sebagai satu langkah bagi memberi lebih peluang kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pengajian.

Di samping itu, pihaknya menggesan supaya kerajaan memperbanyakkan program berteraskan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi memenuhi keperluan industri dalam dan luar negara bertepatan dengan gelombang Revolusi 4.0 yang pesat berkembang.