IPOH: Kerajaan negeri Perak menganggap tiada keperluan untuk mengazetkan Pulau Sembilan sebagai Taman Laut Malaysia.

Menteri Besar. Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, ini kerana pulau tersebut telahpun digazetkan sebagai Taman Negeri beberapa tahun yang lalu bagi memastikan ia terus dipelihara di bawah tanggungjawab kerajaan negeri.

“Kita ada dengar terdapat cadangan untuk mengazetkan pulau itu sebagai Taman Laut dan saya ingin jelaskan ianya telah pun digazetkan sebagai Taman Negeri, jadi sebarang tindakan (gazetkan Pulau Sembilan sebagai Taman Laut) adalah tidak wajar, kita kekal dengan keputusan lama.

“Sebelum waktu saya menjadi Menteri Besar juga cadangan ini timbul, namun Menteri Besar pada waktu itu telah mengambil keputusan untuk tidak berbuat demikian demi kepentingan rakyat Perak sendiri,”
katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini pada Rabu.

Tambah beliau, sekiranya pulau berkenaan digazetkan sebagai Taman Laut Negeri, ia akan memberi impak secara terus terhadap industri perikanan dan pelabuhan-pelabuhan di sekitar kawasan terbabit.

“Sekiranya ia dijadikan Taman Laut Negara, maka nelayan-nelayan tidak akan dibenarkan untuk mencari ikan di sekitar kawasan itu yang kita tahu menjadi tempat turun temurun mereka mencari rezeki.

“Ianya akan memberi kesan besar kepada nelayan Perak khususnya dari Bagan Datuk, Hutang Melintang, Sitiawan dan beberap lagi kawasan justeru ketika itu kerajaan negeri mengambil keputusan untuk tidak berbuat demikian,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau memberitahu kerajaan negeri ketika ini sedang giat melakukan kerja-kerja pemulihan di pulau tersebut yang sebelum ini ditutup selepas diterokai oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Kita sedang ambil tindakan perundangan terhadap pihak-pihak tidak bertanggunjawab itu dan kita telah pun membersihkan kesemua kawasan Pulau Sembilan dari segala kekotoran selain mengeluarkan bahan-bahan binaan,” kata beliau.