IPOH – Kerajaan Perak akan mendapatkan pandangan dan nasihat daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sekiranya terdapat keperluan untuk memendekkan waktu operasi pusat hiburan dalam negeri.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagaimanapun berpandangan sehingga kini tiada keperluan untuk memendekkan waktu operasi pusat hiburan kepada pukul 1 pagi, terutamanya di bandaraya Ipoh kerana keadaan pusat hiburan di Perak masih terkawal, dan operasinya tidak mengganggu ketenteraman awam.

“Selari dengan sasaran kerajaan negeri untuk memajukan sektor pelancongan Perak, kita perlu mengambil kira keperluan yang rasional untuk menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa khususnya ke Ipoh,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Ahmad Faizal sebelum ini diminta mengulas sama ada akan mengikut langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bercadang untuk memendekkan waktu operasi semua pusat hiburan di ibu negara kepada pukul 1 pagi. – Bernama