TAIPING – Majlis Perbandaran Taiping (MPT) mengesahkan tidak pernah menerima cadangan projek pembangunan kereta kabel di Bukit Larut oleh mana-mana pihak termasuk pemaju persendirian sehingga kini.

Yang Dipertuanya, Datuk Abdul Rahim Md Ariff berkata, pihak berkuasa tempatan itu turut komited menyokong pendirian kerajaan negeri dan Exco Pelancongan, Tan Kar Hing yang terus memberi jaminan tidak akan laksana projek tersebut di Bukit Larut pada persidangan Dun lalu.

Menurutnya, MPT juga tidak tahu-menahu mengenai dakwaan tiga syarikat pemaju persendirian dikatakan berminat melaksanakan projek pembinaan kereta kabel di Bukit Larut sebagaimana dinyatakan seorang ahli majlis MPT dalam sebuah akhbar Cina, bulan lalu.

“Apabila kerajaan negeri umum tiada sebarang pembangunan kereta kabel di Bukit Larut, sudah pasti MPT akan menyokong pendirian itu.

“Kita juga mengesahkan tidak pernah menerima sebarang permohonan cadangan kertas kerja membabitkan projek pembangunan kereta kabel sehingga kini.

“Mengenai dakwaan (terdapat tiga syarikat pemaju berminat), itu saya tidak tahu,” katanya kepada media selepas majlis mesyuarat penuh bulanan MPT di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha MPT, Borhan Abdul Halim.

Beliau berkata demikian bagi mengulas gesaan sekumpulan aktivis pencinta alam sekitar Taiping yang mendesak kerajaan negeri menghentikan serta-merta sebarang perancangan kewujudan kereta kabel di Bukit Larut pada masa hadapan.

Abdul Rahim berkata, di sebalik pengesahan ketiadaan projek pembangunan kereta kabel, MPT mengakui memerlukan peruntukan segera bagi menaik taraf perkhidmatan logistik menaiki Bukit Larut yang dianggap satu keperluan sangat mendesak.

Menurutnya, sehingga kini, MPT menawarkan sejumlah 10 jip untuk kegunaan logistik turun naik Bukit Larut bagi kemudahan pengunjung, namun hanya enam jip sahaja benar-benar berfungsi elok.

“Kita mengakui berdepan kekangan kewangan bagi menaik taraf perkhidmatan logistik di Bukit Larut memandangkan kita sebenarnya memerlukan tambahan 10 jip baharu bagi melicinkan perkhidmatan logistik untuk kemudahan pengunjung.

“Apabila masalah logistik belum dapat dinaik taraf, secara tidak langsung perkara itu juga menyukarkan usaha MPT memperbaiki sistem perkhidmatan lain seperti tempahan tiket menaiki Bukit Larut dan sebagainya,”katanya.

Abdul Rahim turut menjelaskan peruntukan RM3 juta diterima MPT dari NCIA baru-baru ini juga tidak meliputi keperluan penambahan aset logistik baharu.

Menurutnya, kos peruntukan diterima itu ditumpukan sepenuhnya kepada usaha membaik pulih banglo-banglo lama yang terdapat di atas Bukit Larut, menaik taraf kemudahan parkir, landskap dan lot tapak niaga.

“Atas sebab itu, MPT sudah mengemukakan permohonan dana baharu bagi mendapatkan tambahan aset logistik daripada kerajaan negeri dan Pusat,”katanya.

Mengenai cadangan mewartakan Bukit Larut sebagai salah satu tapak warisan negara, Abdul Rahim menegaskan cadangan itu sudah dikemukakan MPT kepada kerajaan Pusat berserta Taman Tasik Taiping.

Dalam perkembangan lain, Abdul Rahim menegaskan MPT membuat keputusan menutup sebahagian Jalan Halaman Pasar sehingga Jalan Boo Bee dan sebahagian Jalan Chung Thye Phin, berhampiran Pasar Siang dan Malam, di sini bermula 15 Oktober hadapan.

“Penutupan jalan adalah secara percubaan selama tiga bulan mulai 15 Oktober 2018 hingga 15 Januari 2019 bermula jam 7 petang hingga 3 pagi untuk tujuan perniagaan,” katanya – sinar