GERIK: Wabak demam Malaria yang melibatkan penduduk di perkampungan Orang Asli Pos Kemar, Gerik kini dalam fasa terkawal dan sudah dianggap selesai.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan, Datuk Saarani Mohamad, ini bermakna masyarakat Orang Asli di RPS Kemar boleh meneruskan kehidupan mereka seperti sedia kala.

Namun begitu, katanya, walaupun sudah tidak ada kes baru dilaporkan pihak Jabatan Kesihatan akan sentiasa memantau kesihatan penduduk di perkampungan itu bagi mengesan tentang kemungkinan berulangnya wabak itu.

“Menurut Jabatan Kesihatan walaupun sudah tidak ada lagi kes-kes baru tetapi mereka hanya dapat mengesan 95 peratus daripada penduduk Pos Kemar dan 90 peratus ini telahpun diuji darah masing masing.

“Ada lagi 5 peratus atau lebih kurang 200 orang yang tidak dapat dikesan dan dengan keadaan yang ada sekarang ini kita sudah boleh bersyukur kerana kerja-kerja pengawalan baik telah dibuat Jabatan Kesihatan dan nampaknya telah berhasil.

Ini bermakna kes malaria di Pos Kemar bukan sahaja dapat ditamatkan tetapi dapat dikekang daripada merebak penempatan lain berhampiran seperti Pos Banun, Sungai Tiang dan Sungai Kejar,’’ katanya.

Datuk Saarani berkata demikian kepada pemberita semasa mengadakan lawatan ke perkampun gan Orang Asli RPS Kemar, Gerik pada Isnin. Hadir sama Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman, Adun Temengor, Salbiah Mohamed dan Timbalan Pengarah Kesihatan Perakl, Datuk Dr Rahimi Goon.

Beliau turut mengulas laporan media yang membangkitkan isu berkaitan keperluan penghantaran bantuan makanan segera yang mana sebenarnya kerajaan negeri menerusi Yayasan Bina Upaya telahpun menghantar bantuan makanan semasa wabak itu berlaku pada 14 Disember.

Beliau berharap isu mengenai tidak cukup makanan itu tidak dibangkitkan lagi selepas ini.

Saarani juga memberitahu bahawa kerajaan negeri telah meluluskan 5,000 ekar tanah atas nama rizab orang asli di Pos Kemar dengan sebahagian besarnya akan dibangunkan sebagai ladang getah yang dapat memberi manfaat besar kepada 1,000 ketua keluarga masyarakat itu.

Katanya, perbincangan sedang dibuat bagi melantik pemaju untuk membangunkan ladang berkenaan bagi tempoh lima tahun sebelum diserahkan kepada masyarakat orang asli di Pos Kemar untuk mereka mengusahakannya sendiri.

Sementara itu Datuk Dr Rahimi Goon berkata, keadaan terkini wabak malaria di RPS Kemar adalah terkawal.

“Secara keseluruhan kita telah mengambil sampel daripada 17 buah kampung di Pos Kemar dengan penduduk seramai 1,189 orang dan selain itu kita telah membuat mengesan dan memasukkan seramai 137 pesakit ke hospital Gerik dan Hospital Kuala Kangsar.

“Dengan semua ini saya boleh katakan wabak Malaria di Pos Kemar ini adalah terkawal,’’ katanya.