IPOH: Exco kerajaan negeri Perak, Dr Abdul Aziz Bari berpendapat tiada undang-undang yang menyatakan memasang Jalur Gemilang secara terbalik adalah satu kesalahan.

Bekas profesor undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa itu berkata, ia mungkin disebabkan kesilapan atau terlepas pandang.

Beliau menganggap isu itu sebagai kecil dan terpencil, tetapi menjadi panas apabila disebarkan dengan cepat melalui media sosial.

“Benda ni terlalu mudah ataupun cepat disebarkan, tersebarkan cuma setahu saya tak ada kesalahan, ada undang-undang ke yang menyatakan salah pasang bendera terbalik.

“Cuma benda ni jangan dimainkan, jangan dipanaskan lah. Jadi kalau kadang-kadang tersilap kan ataupun terlepas pandang, jadi jangan kata ini perbuatan tidak patriotik perbuatan anti tu, anti ni, jadi jangan digambarkan begitu lah.

“Ataupun orang nak buat lawak jenaka, we got to be able not to laugh at ourself lah, jangan anggap benda yang kecil, yang remeh tu, kita mainkan, kita bagi konteks lain, konteks kaum, konteks agama, konteks itu, konteks ini, jadi tak baguslah,” katanya.

Beliau ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan warga Jabatan Pendidikan negeri Perak serta wakil-wakil persatuan pendidikan di sini pada Khamis.

Beliau diminta mengulas mengenai laporan polis yang dibuat oleh 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Perak pada Rabu yang mendesak pihak polis membuat siasatan dan mengambil tindakan tegas dalam isu pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik yang tular di media sosial.

Abdul Aziz berkata, setakai ini, belum ada laporan Jalur Gemilang dipasang terbalik di sekolah-sekolah di seluruh negeri Perak.